KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Perdana Menteri Kesembilan Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kini memasuki fasa kedua tertumpu kepada pengisytiharan harta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata terdapat beberapa perkara penting akan dilakukan pegawai penyiasat SPRM dalam rakaman percakapan yang akan diambil daripada Ahli Parlimen (AP) Bera (Pahang) itu selepas ini.
Beliau berkata Datuk Ismail Sabri dijangka menyambung semula sesi rakaman percakapan dengan SPRM selewat-lewatnya pada hujung April.
Menurutnya, sesi pertama rakaman percakapan mantan Naib Presiden Umno itu sebelum ini telah selesai, yang memberi tumpuan kepada penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta ($51.57 juta) serta 16 kilogram (kg) jongkong emas di sebuah safehouse (rumah di lokasi rahsia untuk persembunyian).
“Pegawai penyiasat akan memanggilnya semula untuk menjelaskan beberapa perkara termasuk berkaitan dokumen dan saksi sokongan dalam pengiystiharan harta yang dikemukakan beliau sebelum ini.
“Dalam tempoh dua minggu ini kami akan bertanya balik dan sekiranya tak dapat dibekalkan, kita akan panggil juga rakaman percakapan untuk menjelaskan kenapa dokumen-dokumen ini tak dapat diperolehi.
“... dan mana saksi yang beliau boleh kemukakan untuk bantu beliau menyokong dalam pernyataan beliau berhubung dengan pengisytiharan harta,” kata Tan Sri Azam dalam dalam wawancara khas bersama Buletin Utama TV3, lapor Berita Harian Malaysia.
Setakat ini, seramai 33 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Sebelum Aidilfitri, Datuk Ismail Sabri, sudah enam kali hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram membabit perbelanjaan kerajaan berjumlah RM700 juta yang melibatkan dirinya sebagai suspek.
Dana terbabit adalah bagi tujuan promosi dan publisiti kerajaan terdahulu dan kerajaan Datuk Ismail Sabri selama 14 bulan pemimpin berusia 65 tahun itu memegang jawatan dari 21 Ogos 2021 hingga 23 November 2022.
Datuk Ismail Sabri yang pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri paling singkat iaitu tidak sampai dua bulan ketika era pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pada Julai hingga Ogos 2021, disiasat SPRM selepas empat bekas pegawai kanan ketika pentadbirannya ditahan.
Penahanan bekas pegawai terbabit membawa kepada penemuan wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa.
Selain ringgit Malaysia, ia merangkumi mata wang baht, riyal, pound sterling, won, euro, Franc Swiss dan yuan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg