Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes khalwat berulang: Duda selesai disebat 6 kali depan khalayak di Terengganu

Sebelum ini, pesalah pernah dirotan empat kali di dalam penjara selepas didapati bersalah kes khalwat kedua
Dec 27, 2024 | 5:31 PM
Duda lima anak, Mohd Affendi Awang, 42 tahun (tengah), dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai di sebuah masjid di Terengganu atas kesalahan khalwat kali ketiga.
Duda lima anak, Mohd Affendi Awang, 42 tahun (tengah), dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai di sebuah masjid di Terengganu atas kesalahan khalwat kali ketiga. - Foto URUSETIA PENERANGAN DARUL IMAN

Di sebalik bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Peguam Malaysia, seorang duda yang menjadi lelaki pertama dijatuhi hukuman enam sebatan di depan khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang, selesai menjalani hukuman itu di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, Terengganu, pada petang 27 Disember.

Tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42 tahun, menjalani hukuman sebatan itu selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November, atas tuduhan khalwat buat kali ketiga dengan wanita berbeza.

Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Encik Kamalruazmi Ismail, ketika itu turut menjatuhkan hukuman denda RM4,000 ($1,210) atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan terhadap tertuduh.

Ini adalah hukuman sebatan kali kedua yang dijalani bapa lima anak itu atas kesalahan khalwat, namun, yang pertama dilakukan secara terbuka.

Sebelum ini, tertuduh yang bekerja sebagai tukang rumah pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah atas tuduhan khalwat pada 11 Julai 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman, Terengganu.

Tertuduh kemudian didakwa kali kedua melakukan kesalahan yang sama pada 25 Januari dan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 19 Februari menjatuhkan hukuman empat sebatan di dalam penjara dan denda RM3,000.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara, yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu.

Pelaksanaan hukuman sebatan enam kali di khalayak ramai yang berlangsung dua minit itu dilaksanakan pegawai Jabatan Penjara Malaysia kira-kira 2.50 petang, dengan disaksikan kira-kira 90 hadirin, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi,

Terdahulu Mohd Affendi tiba di masjid berkenaan pada 2.28 petang dengan mengenakan baju lokap merah dan dibawa masuk ke bilik persediaan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan selama 20 minit.

Lelaki itu kemudian dibawa keluar ke dewan masjid berkenaan selepas pegawai perubatan mengisytiharkan kepada mahkamah bahawa pesalah layak menjalani hukuman tersebut.

Kawasan masjid berkenaan turut dikawal ketat oleh polis dan Mohd Affendi kemudian dibawa pulang ke Penjara Marang, Terengganu, sebaik selesai menjalani hukuman itu.

Sebelum ini, Majlis Peguam Malaysia (MPM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan badan bukan kerajaan (NGO) kumpulan G25 (kumpulan individu yang berpengalaman dalam pelbagai bidang) menggesa agar dihentikan hukuman sebat di khalayak ramai yang dijadualkan terhadap Mohd Affendi.

Presiden MPM, Encik Mohamad Ezri Abdul Wahab, berkata hukuman sebat di khalayak ramai perlu dihentikan kerana ia menjatuhkan maruah individu, kejam, tidak berperikemanusiaan dan merendahkan martabat pesalah.

Suhakam pula berpandangan hukuman sebatan di tempat awam melampaui bidang kuasa undang-undang persekutuan, khususnya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Dr Muhammad Khalil mempertahankan pelaksanaan hukuman itu yang menurutnya membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkasa undang-undang syariah dan sebagai langkah mendidik masyarakat selaras dengan prinsip maqasid syariah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg