Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sebat pesalah khalwat di khalayak ramai: 40 polis dijadual kawal keselamatan di masjid Terengganu

Dec 26, 2024 | 1:20 PM
Buruh binaan, Mohd Affendi Awang, 42 tahun, bakal disebat di khalayak ramai di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, Terengganu, pada 27 Disember atas kesalahan khalwat berulang sebanyak tiga kali.
Buruh binaan, Mohd Affendi Awang, 42 tahun, bakal disebat di khalayak ramai di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, Terengganu, pada 27 Disember atas kesalahan khalwat berulang sebanyak tiga kali. - Foto NSTP

KUALA TERENGGANU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan kira-kira 40 pegawai dan anggotanya di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, Terengganu, untuk mengawal keselamatan serta kelancaran proses hukuman sebat ke atas seorang tukang rumah, pada 27 Disember.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Azli Mohd Noor, berkata ia sebagai langkah berjaga-jaga akan sebarang kemungkinan berlaku provokasi atau tindakan melampaui batasan undang-undang bagi mengganggu pelaksanaan hukuman itu nanti.

Beliau berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mencetuskan provokasi terhadap petugas mahupun tertuduh pada hari berkenaan.

“Hukuman ke atas tertuduh sudah pun diputuskan, biarlah pihak yang bertanggungjawab melaksanakan tugas,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Azli memaklumkan hanya 70 individu akan dibenarkan memasuki ruangan tempat hukuman sebat itu dijalankan.

Justeru, beliau berkata jemaah yang hadir di masjid berkenaan pada 27 Disember dinasihatkan beredar segera setelah selesai menunaikan solat Jumaat.

“Orang ramai tidak perlu berkumpul sehingga menyebabkan berlaku kesesakan di pekarangan masjid itu.

“Sebarang rakaman adalah tidak dibenarkan. Pihak polis akan membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada alatan elektronik atau telekomunikasi dibawa masuk ke ruangan tempat hukuman itu dilaksanakan.

“Saya memohon semua pihak menghormati undang-undang dan tidak melakukan kekacauan,” katanya.

Media Malaysia sebelum ini melaporkan seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu yang akan menjalani hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.

Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Encik Kamalruazmi Ismail, selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42 tahun, mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Selain enam sebatan, tertuduh juga dihukum denda RM4,000 ($1,215), atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Hukuman sebatan ke atas tertuduh sepatutnya dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah pada 6 Disember, namun ditangguhkan susulan permohonan semakan yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah.

Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai terhadap pesalah khalwat berulang itu mendapat bantahan kumpulan bekas penjawat awam kanan (G25) yang menggesa Terengganu menghentikan hukuman itu kerana didakwa berlaku penghinaan awam dan tidak selari dengan nilai Islam.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu mengesyorkan pendekatan yang lebih mempunyai belas ihsan dan berperikemanusiaan seperti kaunseling.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg