Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes murid maut terjatuh dalam lubang kumbahan di N. Sembilan: Polis ambil keterangan 9 individu

Sep 29, 2025 | 11:54 AM
Kes murid maut terjatuh dalam lubang kumbangan, N. Sembilan, polis siasat
Orang ramai membantu usaha mengeluarkan seorang murid lelaki berusia sembilan tahun yang maut selepas terjatuh ke dalam saliran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Seremban, Negeri Sembilan, pada 27 September lalu. - Foto KOSMO!

SEREMBAN (Negeri Sembilan): Polis telah mengambil keterangan sembilan individu setakat ini berhubung tragedi seorang murid lelaki maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Seremban, Negeri Sembilan, pada 27 September.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata mereka yang dirakam keterangan termasuk pengadu kes, guru dan pelajar sekolah terbabit.

“Kita akan rakam empat keterangan lagi pada 29 September membabitkan pihak Jabatan Kerja Raya, Indah Water Konsortium Sdn Bhd dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara,” katanya, lapor Harian Metro.

Datuk Alzafny berkata siasatan lanjut masih dijalankan ketika ini atas dakwaan berlaku penganiayaan, pengabaian, atau pembuangan dan mendedahkan kanak-kanak kepada keadaan yang berbahaya.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana dikhuatiri boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.

Dalam kejadian malang pada 27 September, murid Tahun Tiga sebuah sekolah rendah di Lenggeng, Abdul Fattah Khairol Rizal, sembilan tahun, maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan sedalam 1.8 meter di sekolah berkenaan.

Mangsa yang juga anak kepada Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dikatakan terjatuh ketika memijak penutup lubang pembetung jenis fiber di kawasan sekolah semasa program sukan olahraga di sekolah tersebut sekitar 9 pagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin, yang turut berada di lokasi ketika kejadian bagi perasmian majlis berkenaan, turut bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan berhubung kejadian itu.

Datuk Mohd Asna berkata ketika itu ramai murid berada di kawasan belakang sekolah kerana berlangsungnya Hari Sukan.

Kanak-kanak itu dikeluarkan daripada saluran kumbahan itu dengan bantuan seorang lelaki, Encik Muhammad Arsyad Jahaya, 35 tahun, yang nekad menyelam ke dasar tangki septik berkenaan walaupun tanpa sebarang peralatan keselamatan dan sedar risiko dihadapi.

“Waktu itu saya sedang buat video ketika anak-anak prasekolah mahu memulakan acara larian. Keadaan mula kecoh dan murid diminta untuk berkumpul di padang.

“Tiba-tiba seorang guru hampiri saya dan bertanya sama ada saya pandai berenang. Selepas turun ke saluran kumbahan, memang saya dapat rasa ada objek terlanggar kayu yang digunakan untuk ukur.

“Tiba-tiba timbul topi dan kasut dan saya rasa ini adalah petunjuk yang diberikan supaya saya menyelam dan menyelamatkan mangsa,” katanya yang berada di sekolah berkenaan kerana menghadiri hari sukan berkenaan.

Sementara itu Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek, berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat ketidakpatuhan prosedur operasi standard sehingga menyebabkan kejadian murid maut akibat terjatuh ke dalam lubang pembentungan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg