Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes Syed Saddiq: Pendakwa fail rayuan terhadap pembebasan

Jun 27, 2025 | 10:58 AM
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) Malaysia memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen (AP) Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, daripada empat tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

AGC dalam satu kenyataan pada 26 Jun memaklumkan notis rayuan itu difailkan pada tarikh tersebut selepas meneliti dan mempertimbangkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun.

“Proses rayuan itu adalah sebahagian daripada sistem kehakiman yang membenarkan semakan terhadap keputusan mahkamah yang lebih rendah.

“la adalah amalan biasa dalam proses perundangan negara dan tidak mencerminkan sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.

“Pemfailan rayuan ini bertujuan memastikan isu-isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan dapat diteliti dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan, selaras dengan prinsip keadilan dan tadbir urus undang-undang yang telus,” katam kenyataan itu, lapor Berita Harian Malaysia.

Pada 25 Jun, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta ($3.02 juta) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.

Datuk Noorin yang membacakan keputusan sebulat suara itu berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan tuduhan bersubahat terhadap Syed Saddiq selain tiada keterangan serta fakta kukuh yang menyokong berkaitan salah guna harta manakala pertuduhan pengubahan wang haram tidak dapat dipertahankan.

“Tindakan menyuruh, mengarahkan, atau memerintahkan seseorang untuk mengeluarkan wang tidak boleh dianggap sebagai pelupusan wang.

“Perbuatan mengeluarkan wang itu sendiri tidak memenuhi elemen perlakuan fizikal jenayah.

“Kami mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti dan fakta yang boleh dipercayai bagi menyokong tuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan (salah guna harta).

“Kami juga berpendapat tuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram tidak dapat dikekalkan. Oleh itu, perayu dibebaskan dan dilepaskan daripada semua tuduhan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg