KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan Umno menafikan sebarang kaitan dengan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas di rumah individu tertentu, dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Seperti dimaklumkan, jika (terdapat sebarang) isu terkait dengan individu (dalam parti), ia tiada kaitan dengan BN.
“Isu terkait dengan individu biarlah diuruskan dengan individu itu, tetapi yang mustahaknya biarlah proses (siasatan) berjalan seperti dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Dr Zambry, lapor Berita Harian Malaysia, pada 6 Mac.
Terdahulu, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata Umno memandang serius sebarang cubaan mengaitkan parti itu dengan siasatan yang dijalankan SPRM.
“Umno tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan terbabit dan berpendirian bahawa SPRM harus diberi ruang menjalankan siasatan secara telus, bebas, dan adil, tanpa sebarang gangguan.
“Umno juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja mengaitkan, menuduh, atau mencipta persepsi bahawa parti ini mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat,” katanya.
Dalam sidang media pada 3 Mac lalu, SPRM mendedahkan penemuan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta ($51.1 juta) dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Wang tunai ratusan jutaan ringgit dan barangan berharga itu dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah safehouse (rumah di lokasi rahsia untuk persembunyian), berkaitan dakwaan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Datuk Ismail Sabri ketika memegang jawatan Perdana Menteri ke-9.
SPRM berkata wang tunai yang dirampas itu meliputi nilai dalam Baht, Riyal, Pound Sterling (GBP), Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan, termasuk Ringgit Malaysia.
Susulan rampasan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan Datuk Ismail Sabri yang juga mantan Naib Presiden Umno kini disiasat sebagai suspek dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram dan bukan lagi sebagai saksi.
Justeru, Tan Sri Azam berkata antara tindakan diambil SPRM terhadap Ahli Parlimen (AP) Bera itu adalah meminta beliau melakukan perisytiharan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM.
“Penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta dalam safehouse berkenaan mengesahkan AP Bera itu sebagai seorang suspek.
“(Yang) kedua apabila penemuan wang ini dan beliau antara yang dikaitkan, maka kita perlu mendapatkan penjelasan daripadanya mengenai penemuan wang itu,” katanya.
Siasatan SPRM bermula dengan penahanan empat individu iaitu bekas pegawai kanan Datuk Ismail Sabri pada 21 Februari lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg