Topik diikuti
Pergi ke BHkuSering dibuli punca pelajar ‘mengamuk’, kejar rakan sekolah dengan pisau
Sering dibuli punca pelajar ‘mengamuk’, kejar rakan sekolah dengan pisau
Sering dibuli punca pelajar ‘mengamuk’, kejar rakan sekolah dengan pisau
ALOR GAJAH: Ekoran kerap dibuli dengan dibaling ais, seorang pelajar Tingkatan Satu naik angin lalu mengejar tiga rakannya sambil memegang pisau pemotong kertas di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka, pada petang 9 Julai.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar, berkata siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada kira-kira 2.50 petang ketika sesi kokurikulum bagi program penghargaan kehadiran pelajar sedang berlangsung di dewan terbuka sekolah berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan siasatan yang dijalankan polis, dua pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun dipercayai telah berulang kali membaling ais ke arah suspek, seorang pelajar berusia 13 tahun.
“Akibat tidak dapat menahan marah, suspek telah mengeluarkan pisau pemotong kertas dari dalam bekas penselnya sebelum mengejar salah seorang mangsa sejauh kira-kira 50 meter hingga ke kawasan surau sekolah tersebut.
“Dua lagi pelajar yang berada bersama mangsa turut melarikan diri kerana bimbang menjadi sasaran.
“Kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sekolah,” katanya, lapor Harian Metro.
Encik Ahmad, menambah, seorang guru yang mendapat tahu tentang kejadian itu telah bertindak pantas dan berjaya memujuk suspek tersebut, sebelum pelajar itu melepaskan pisau yang dipegangnya.
Ujarnya, tindakan itu berjaya mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku.
“Tiada pelajar atau guru yang cedera.
“Ketiga-tiga pelajar yang melarikan diri itu kemudian kembali ke dewan sekolah selepas keadaan terkawal.
“Keluarga pelajar yang mengejar rakannya itu kemudian dipanggil ke sekolah sebelum pelajar itu dibawa pulang.
“Siasatan juga mendapati semua pelajar yang terbabit mempunyai rekod salah laku disiplin sejak awal sesi persekolahan tahun ini (2026),” katanya.
Menurut Encik Ahmad, suspek dilaporkan sedang menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka dengan sesi rawatan terakhir direkodkan pada 3 Jun lalu.
Pihak sekolah juga sedia maklum mengenai keadaannya itu.
Beliau menambah, satu laporan polis dibuat oleh guru sekolah berkenaan di Balai Polis Durian Tunggal, Melaka, pada malam kejadian dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Terdahulu Harian Metro melaporkan sesi kokurikulum di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, bertukar kecoh apabila seorang pelajar lelaki dipercayai mengejar tiga rakannya sambil memegang pisau.
Dalam kejadian itu, pelajar Tingkatan Satu itu dipercayai mengejar rakannya dari dewan sekolah hingga berhampiran surau, sebelum berjaya ditenangkan guru dan pengawas yang mengepung serta merampas senjata berkenaan.
Menurut sumber, pelajar itu dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan perlu mengambil ubat secara berkala.
