Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes tikam rakan di sekolah Selangor: Pelajar perempuan 15 tahun direman empat hari
Kes tikam rakan di sekolah Selangor: Pelajar perempuan 15 tahun direman empat hari
Mangsa alami cedera parah pada paru-paru selain terdapat 16 kesan tikaman pada badan
Kes tikam rakan di sekolah Selangor: Pelajar perempuan 15 tahun direman empat hari
BANTING (Selangor): Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang disyaki menikam rakan sekolahnya dalam kejadian di sebuah sekolah di Banting, Selangor, pada 6 Julai, ditahan reman selama empat hari mulai 7 Julai, bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi, yang mengesahkan perkara itu, berkata perintah reman terhadap remaja berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Majistret Teluk Datok, Banting.
“Reman dibenarkan ke atas suspek selama empat hari, dari 7 hingga 10 Julai 2026,” katanya, lapor laman web, Astro Awani.
Siasatan terhadap suspek dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Dalam kejadian kira-kira 9 pagi 6 Julai, mangsa yang merupakan pelajar perempuan Tingkatan Tiga dan berusia 15 tahun dilaporkan cedera parah pada bahagian paru-paru selain terdapat kira-kira 16 kesan luka tikaman pada badannya.
Bapa mangsa, Encik Mohd Firuz Ibrahim, 43 tahun, meluahkan rasa kesal terhadap kejadian berkenaan dan menggesa pihak sekolah agar memperketatkan tahap keselamatan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
Menurutnya, suspek dipercayai merupakan rakan sedarjah anaknya ketika di Tingkatan Dua dan difahamkan remaja itu sedang dalam tempoh cuti bagi menjalani rawatan kesihatan.
“Saya hanya menyedari kejadian itu selepas mendapati terdapat beberapa panggilan tidak dijawab daripada pihak sekolah ketika saya sedang bekerja,” katanya sambil menambah anaknya itu kini menerima rawatan di Hospital Banting.
Encik Mohd Firuz turut mengesahkan nama anaknya ada dalam senarai individu yang dikatakan berada dalam sasaran suspek.
Bagaimanapun beliau tidak dapat mengesahkan sama ada senarai yang turut tular di media sosial itu benar atau sebaliknya, dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Nampaknya nama anak saya ada dalam senarai itu di nombor 10,” katanya ringkas.
Sementara itu, menurut satu kenyataan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor pada 6 Julai, suspek dipercayai memasuki kawasan sekolah melalui pintu masuk utama sebelum ditenangkan oleh guru-guru sekolah berkenaan, sementara menunggu ketibaan pihak polis di tempat kejadian.
Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial pada 6 Julai memaparkan seorang remaja perempuan berpakaian hitam berjalan di kawasan sekolah sambil memegang sebilah pisau, dipercayai berkaitan dengan kes tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili suspek, Cik Vijeswari Devi Suppiah, memaklumkan, anak guamnya itu merupakan orang kelainan upaya (OKU) autisme.
