KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan lebih 4,000 penjawat awam terpedaya dengan sindiket tawaran pinjaman yang didalangi pegawai bank di beberapa institusi kewangan negara.
Dalam perkembangan terkini siasatan kes itu pada 17 Januari, SPRM telah merampas 4,000 dokumen bagi membantu siasatan sindiket selepas RM700 juta ($212.5 juta) pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Siasatan menunjukkan selepas pinjaman diluluskan, peminjam akan membayar balik wang pendahuluan daripada sindiket, manakala baki pinjaman dilaburkan dalam skim pelaburan.
Difahamkan, ramai menjadi mangsa dan terpedaya dengan kegiatan itu selepas sindiket dikatakan masuk ke kementerian dan jabatan awam di seluruh negara dengan berselindung di sebalik agensi kewangan yang membantu menguruskan kewangan.
Menurut laporan Berita Harian Malaysia (BHM), sindiket menjayakan jelajah ke jabatan kerajaan dan mempamerkan diri sebagai agensi bantuan kewangan yang boleh membantu penjawat awam yang mempunyai pinjaman atau hutang lapuk.
Mereka juga dikatakan menjadikan media sosial sebagai medan utama untuk menarik ramai mangsa yang akan terpedaya dengan janji sindiket yang mendakwa mampu menyelesaikan masalah kewangan mereka.
“Sindiket menjadikan platform media sosial sebagai medan untuk memburu mangsa dengan menawarkan khidmat bantuan perunding kewangan, malah akan mengadakan jelajah di jabatan serta kementerian awam untuk menarik penjawat awam.
“Setakat ini, pihak berkuasa mengesan ribuan mangsa adalah penjawat awam,” kata sumber kepada BHM.
Pada 14 Januari, SPRM menumpaskan sindiket menjalankan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram bagi membolehkan penjawat awam yang mempunyai hutang lapuk mendapatkan pinjaman peribadi di institusi perbankan tempatan.
Menerusi serbuan di 24 tempat melalui Ops Sky yang dijalankan di kediaman dan pejabat sekitar Lembah Klang, seramai 12 individu ditahan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata berdasarkan siasatan awal, SPRM percaya terdapat pegawai di beberapa institusi perbankan yang menerima rasuah daripada pegawai syarikat perunding kewangan sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan pinjaman peribadi pelanggan yang dikenal pasti mempunyai hutang lapuk.
Mereka yang ditahan termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, selain pengarah yayasan, pengurus dan bekas pengurus jualan institusi perbankan.
SPRM membekukan 70 akaun syarikat dan individu membabitkan nilai lebih RM16.2 juta ($4.91 juta), selain menyita sembilan kenderaan pelbagai jenama, wang tunai, jam tangan mewah, beg tangan berjenama serta barangan kemas.
Syarikat perunding kewangan terbabit dipercayai membantu menyediakan dokumen mengandungi maklumat palsu yang dihantar ke beberapa institusi kewangan untuk mendapatkan pinjaman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg