KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan hampir 100 akaun hasil siasatan badan itu terhadap kegiatan sindiket pinjaman yang menyasarkan kakitangan awam di Malaysia sebagai mangsa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata daripada 98 akaun itu sebanyak RM22 juta ($6.69 juta) dana sudah dibekukan membabitkan lima atau enam bank terkenal di Malaysia.
“Buat masa ini saya tidak akan dedahkan nama bank terbabit.
“Jumlah pinjaman yang terlibat ialah RM700 juta, tapi SPRM tak boleh nyatakan itu satu bentuk kerugian,” katanya, lapor Malaysiakini.
Lebih penting, tambah Tan Sri Azam, dalam kegiatan penipuan berkenaan pihak yang meluluskan permohonan pinjaman tersebut menerima komisen antara 0.5 peratus dengan 1 peratus.
Justeru, katanya isu yang lebih besar bagi SPRM ketika ini bukanlah berapa banyak jumlah yang dianggap ‘hilang’, sebaliknya berapa banyak wang yang diterima pihak terbabit.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Encik Ahmad Khusairi Yahaya, memberitahu media Malaysia lebih 20 individu telah ditahan termasuk dalam kalangan pegawai kanan institusi kewangan.
“SPRM memandang serius isu pinjaman dan juga isu-isu melibatkan penyelewengan oleh syarikat swasta, yang kononnya bertindak sebagai konsultan.
“SPRM bekerjasama dengan BNM (Bank Negara Malaysia) dan beberapa bank yang terlibat. Mereka bekerjasama sepenuhnya menyalurkan maklumat sindiket pinjaman kewangan.
“Setakat ini seramai 21 individu, termasuk lapan pengarah syarikat, 12 pegawai bank dan seorang individu awam yang bertindak sebagai ejen telah ditahan,” katanya.
Sebelum ini, SPRM membongkar sindiket pinjaman membabitkan golongan pengurus kewangan profesional yang dipercayai bertanggungjawab meluluskan pinjaman dengan nilai keseluruhan RM700 juta.
Ia disiasat SPRM kerana dipercayai mempunyai unsur rasuah serta pengubahan wang haram.
Dalam satu perkembangan lain, Tan Sri Azam berkata bahawa Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk menuduh seorang bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berkait projek pembekalan baja bernilai RM1.8 bilion.
Katanya, kertas siasatan yang dibuat melalui Op Ladang itu sudah dilengkapkan pada 13 Disember lalu dan SPRM mencadangkan dua tuduhan dikenakan ke atas individu berkenaan.
“Timbalan pendakwa raya sudah bersetuju untuk menuduh individu tersebut,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg