Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesan ke atas warga Singapura

Oct 13, 2024 | 5:30 AM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

Ramai warga Singapura sering meninjau-ninjau tukaran wang dolar negara ini dengan ringgit Malaysia, dengan kadar naik turun mata wang negara jiran itu menjadi perhatian.

Sebabnya, saban tahun jutaan warga Singapura mengunjungi Malaysia, antaranya bagi tujuan berlibur dan berbelanja. Ini sebahagian besarnya kerana – selain jarak yang dekat – tukaran mata wang yang menarik bagi dolar Singapura.

Setahun lalu atau 1 Oktober 2023, satu dolar Singapura boleh dapat RM3.45. Pada awal Januari 2024, kadarnya tidak jauh berbeza. Pada 20 Februari, kadar itu meningkat ke paras tinggi RM3.57 bagi setiap dolar Singapura.

Selama beberapa bulan, tukaran itu membuatkan ramai warga Singapura berasa gembira apabila bercuti dan berbelanja di Malaysia, termasuklah di Johor, negeri paling dekat dengan negara ini.

Penduduk Malaysia yang bekerja di sini dan menerima gaji dalam dolar Singapura juga tersenyum lebar apabila menukar dolar kepada ringgit.

Namun secara tiba-tiba, ringgit mula menjalani proses pengukuhan, dan pada 25 September, satu dolar Singapura hanya mendapat RM3.20.

Tiba-tiba, wang $1,000, contohnya, hanya dapat ditukar kepada RM3,200, berbanding RM3,570 hanya beberapa bulan sebelumnya, pengurangan sebanyak RM370 – satu jumlah yang bukan kecil.

Warga Malaysia, seperti dilaporkan di media, menyambut baik pengukuhan ringgit itu, dengan pakar kewangan mengunjurkan bahawa pengukuhan itu akan dapat membantu mengurangkan harga barangan, khususnya barangan dan makanan yang diimport dari luar negara termasuk makanan ruji seperti beras.

Demi masa, pengukuhan itu dijangka dapat mengurangkan juga harga barangan lain, sekali gus membantu mengawal kos sara hidup di negara itu, yang menjadi kebimbangan ramai warga Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah, dengan ringgit lebih kukuh telah menyebabkan berbondong-bondong rakyat Malaysia melancong dan berbelanja di luar negara, khususnya ke wilayah selatan Thailand yang bersempadan dengan Malaysia, ekoran tukaran wang yang lebih baik berbanding baht Thailand.

Bagi warga Singapura pula, kenaikan ringgit itu telah menyebabkan harga barangan Malaysia menjadi ‘lebih mahal sedikit’, walaupun saya agak pasti kenaikan itu tidak akan menyebabkan mereka mengurangkan kegiatan berlibur dan berbelanja di Malaysia.

Dilihat secara perspektif lebih luas, walaupun dolar merosot berbanding ringgit, namun kadar tukarannya masih menarik. Contohnya, dibandingkan dengan lima tahun lalu pada Oktober 2019, kadar tukarannya adalah RM3.05 bagi setiap dolar, justeru kadar tukaran sekarang masih lebih tinggi.

Bagi warga Singapura yang sering berbelanja di Malaysia atau mengirim wang ke negara itu, pastinya jumlah tukaran akan terjejas berbanding dua tiga bulan lalu.

Begitu juga dengan warga Malaysia yang bekerja di sini. Mereka juga mengalami ‘penurunan gaji’ ekoran kenaikan ringgit, dengan wang yang mereka kirim kepada keluarga di Malaysia juga berkurangan.

Walaupun warga Singapura ‘berasa sedikit sedih’ kerana kuasa belanja mereka di Malaysia berkurangan, namun wajar kita rasa gembira kerana pengukuhan ringgit akan membantu warga negara jiran terdekat kita dalam meningkatkan kuasa belanja mereka pula.

Penting bagi kita mengongsi kegembiraan ini, memandangkan jika negara jiran dan penduduknya makmur, Singapura sebagai negara jiran juga akan menikmati limpahan kemakmuran itu.

Pendek kata, sebagai jiran, kita sama-sama tumpang gembira.

Namun, sama penting adalah untuk kita terus juga berbelanja di Singapura, demi memastikan ekonomi negara ini terus berkembang dan makmur.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg