Selepas mencipta fenomena menerusi siri produk makanan dan kandungan digitalnya, usahawan dan pempengaruh popular Malaysia, Khairul Aming sekali lagi mencipta kelainan dan mencuri perhatian apabila bakal melancarkan produk sambal terbarunya di mercu tanda kedua tertinggi di dunia, Menara Merdeka Maybank.

Khairul, 34 tahun, bakal melancarkan produk Sambal Nyet Bilis, dari puncak bangunan tertinggi di Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Merdeka 118, menerusi siaran langsung bertema kemerdekaan selama tiga jam pada 7 Ogos.

“Enam tahun lepas kita jual botol sambal yang pertama di satu kedai runcit kecil saja di tepi jalan dan saya sendiri takut nak cuba sebab takut kena judge (dihakimi), takut gagal, takut nak letak impian yang besar.

“Tetapi saya tetap teruskan hari demi hari walaupun penat sekali pun.

“...dan hasil daripada sokongan anda semua, enam tahun kemudian sambal kedua saya akan lancarkan dari mercu tanda kebanggaan tanah air kita, Menara Merdeka 118,” katanya dalam video di media sosial.

Beliau berkata majlis pelancaran yang mengangkat tema kemerdekaan sempena Bulan Kebangsaan Malaysia itu disifatkan sebagai siaran langsung terbesar pernah dianjurkannya, sejak memulakan perniagaan pada 2021.

“Sejak berbulan lalu kita telah pun buat persiapan untuk pastikan majlis ini berjalan lancar.

“Disebabkan majlis ini akan berlangsung di tingkat paling atas, banyak perkara yang kita kena pertimbangkan.

“Pelbagai idea saya bentangkan pada pihak pengurusan dan mereka pun bersama-sama bersemangat nak beri yang terbaik untuk pelancaran kita ini.

“Dari dasar laut bilis ditangkap, sama-sama kita angkat produk tempatan kita ke puncak dunia,” katanya.

Khairul yang pernah mencipta sejarah mencatat jualan produk Rendang Nyet Berapi bernilai RM1.2 juta ($370,000) dalam hanya beberapa minit pada 2025, berkata tema kemerdekaan dipilih bagi mengajak rakyat mengimbau dan menghargai jasa pejuang kemerdekaan negara.

Beliau berkata sebaik Sambal Nyet Bilis habis dijual, siaran langsung itu akan diteruskan dengan mempromosikan pelbagai produk keluaran usahawan tempatan sebagai usaha membantu peniaga kecil mendapat pendedahan lebih meluas.

Khairul turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada pembangunan negara, termasuk nelayan, petani, pekerja media, selain mengajak orang ramai terus menyokong produk tempatan.

Anak kelahiran Kelantan itu turut menitipkan pesanan kepada golongan muda supaya berani memasang impian besar, terus berusaha dan tidak takut untuk gagal kerana setiap kegagalan merupakan peluang untuk belajar dan menjadi lebih baik.

“Tapi setinggi mana kita mendaki dalam hidup ini, jangan kita lupa jasa orang yang menyumbang untuk negara kita,” kata pemilik restoran Rembayung yang terletak di Kuala Lumpur.