Topik diikuti
Pergi ke BHkuPihak berwajib siasat kes data peribadi Khairul Aming bocor
Pihak berwajib siasat kes data peribadi Khairul Aming bocor
Pihak berwajib siasat kes data peribadi Khairul Aming bocor
KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) Malaysia sedang menjalankan siasatan menyusuli kebocoran butiran akaun dan bil telefon pempengaruh dan usahawan terkenal Malaysia, Khairul Aming, yang tular di media sosial.
JPDP dalam satu kenyataan berkata tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku ketidakpatuhan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 atau Akta 709.
“JPDP memandang serius penzahiran tanpa kebenaran terhadap butiran akaun dan bil telefon pelanggan di media sosial.
“JPDP sedang menjalankan siasatan di bawah Prinsip-Prinsip Perlindungan Data Peribadi serta Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) berhubung pengumpulan atau penzahiran data peribadi secara menyalahi undang-undang.
“Tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku ketidakpatuhan terhadap Akta 709,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 22 Julai, lapor Harian Metro.
Sebelum ini, tangkap layar hantaran seorang wanita yang memaklumkan mengenai tunggakan bil telefon milik Khairul Aming telah tular di media sosial, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai keselamatan data peribadi pelanggan.
Berikutan insiden itu, Maxis memaklumkan sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian itu dan menegaskan bahawa syarikat telekomunikasi itu memandang serius sebarang dakwaan membabitkan keselamatan serta kerahsiaan data pelanggan.
Dalam kenyataan sama, JPDP turut menegaskan bahawa pengawal data mesti sentiasa memperkukuh langkah keselamatan teknikal dan organisasi bagi melindungi maklumat pelanggan daripada sebarang pencerobohan atau kebocoran.
“Pengawal data turut diingatkan supaya sentiasa memperkukuh langkah keselamatan teknikal dan organisasi serta memastikan prasarana penyimpanan data dan sistem rangkaian berada pada tahap keselamatan yang sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Khairul Aming turut memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang menyusuli insiden kebocoran data peribadinya, dengan menghantar surat tuntutan (LOD) kepada syarikat telekomunikasi yang didakwa terbabit.
Dalam kenyataan yang dibuat menerusi laman sosial Threads, beliau mengesahkan bahawa beberapa tindakan tegas sudah dilakukannya membabitkan tiga agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab menyiasat penyalahgunaan data itu termasuk kepada pelaku kes itu.