Selepas enam tahun perbicaraan, bekas perdana menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, yang berdepan 25 tuduhan kes salah guna kedudukan dan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.3 bilion ($690 juta), diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian pada 30 Oktober selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie (cukup bukti) terhadap Encik Najib.
Datuk Sequerah dalam keputusannya pada akhir kes pendakwaan berkata tuduhan yang dikenakan ke atas Encik Najib yang dilakukan ketika beliau memegang jawatan perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia adalah sah, tidak kabur dan tidak cacat.
Beliau berkata Encik Najib tidak dikelirukan serta tidak diprejudiskan berhubung kesalahan salah guna kedudukan dan penyelewengan dana berkenaan.
“Selepas membuat penilaian maksimum, saya dapati pihak pendakwaan telah membuktikan intipati bagi semua tuduhan itu. Oleh itu, saya perintahkan tertuduh membela diri bagi semua kes,” kata Hakim Datuk Sequerah.
Encik Najib kemudian diberi tiga pilihan untuk membela diri iaitu pertama, beliau boleh berdiam diri dan tidak menjawab tuduhan; manakala pilihan kedua, boleh beri kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.
Namun, bekas presiden Umno itu memilih cadangan ketiga iaitu memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberi peluang untuk menyoal balas.
Encik Najib akan memulakan prosiding membela diri dan menjawab tuduhan selama 97 hari bermula 2 Disember 2024 sehingga 7 November 2025, sebagaimana ditetapkan mahkamah.
Keputusan Mahkamah Tinggi disifatkan sangat mengecewakan Encik Najib, namun peguam yang mengetuai pasukan pembelaan bekas pemimpin itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, menegaskan pasukannya akan bersiap sedia dengan mengesahkan sekurang-kurangnya 11 saksi pembelaan akan dipanggil.
“Kami hormati keputusan mahkamah, tetapi amat kecewa... anak guam saya sangat kecewa kerana kami telah mengemukakan hujah-hujah yang kami harap akan diberi pertimbangan serius,” katanya.
Bekas ahli parlimen (AP) Pekan itu hadapi empat tuduhan kes salah guna kedudukan untuk suapan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sama.
Sepanjang tempoh perbicaraan bermula 28 Ogos 2019, seramai 50 saksi dipanggil, sebelum pihak pendakwaan menutup kes pada 30 Mei lalu.
Encik Najib ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun sejak 23 Ogos 2022 dan denda RM210 juta selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, pada 28 Julai 2020, memutuskan beliau bersalah terhadap tuduhan penyelewengan dana SRC International bernilai RM42 juta.
Susulan sabitan itu, beliau memohon petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022, yang membawa kepada keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari lalu yang memberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya.
Encik Najib turut diberi pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta, yang perlu dibayar selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC itu.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan Encik Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum (titah tambahan) oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang didakwanya membenarkan beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Titah Adendum itu didakwa adalah tambahan daripada keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong ke-16.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg