KLANG: Kisah cinta pasangan suami isteri yang menyentuh perasaan dan tular akan sentiasa menjadi kenangan meskipun sang isteri, Cik Roslina Yusof, meninggal dunia pada 24 Oktober.
Cik Roslina, 57 tahun, yang menderita penyakit angin ahmar dan kudung kaki kiri disebabkan kencing manis, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada 9.30 pagi, akibat jangkitan kuman dan tekanan darah rendah.
Suaminya, Encik Ah Yauddin Ahmad, sebelum ini, dilaporkan begitu setia dan gigih berniaga air balang, termasuk ke pasar malam di ibu negara, dengan membawa Cik Roslina yang sakit bersama.
Harian Metro melaporkan, jenazah diuruskan di HTAR dan kemudian dibawa ke Masjid Asy-Syarif untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru.
“Isteri meninggal dunia di sisi saya dan sebelum menghembuskan nafas terakhir, saya sempat bercakap, cium dan katakan saya sayang dia.
“Tak lama selepas itu, isteri meninggal dunia, sedih sangat kerana kami tak pernah berpisah. Bila jadi begini memang hiba, pasti akan teringat kerana bukan senang nak lupakan dia,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Terdahulu, kisah Encik Ah Yauddin yang mencari rezeki sebagai peniaga air balang namun setia bersama Roslina, termasuk ke tapak pasar malam di Pantai Dalam untuk berniaga setiap Sabtu mendapat perhatian ramai.
Lelaki itu sanggup mendukung isterinya turun dari rumah mereka di tingkat empat Pangsapuri Meru Ehsan, Persiaran Hamzah Alang, di sini kerana enggan meninggalkan cinta hatinya itu.
Bagi Encik Ah Yauddin, semua itu dilakukan kerana tanggungjawab sebagai suami dan cinta terhadap Cik Roslina yang kekal menebal sekalipun keadaan isteri tidak seperti dulu, malah memerlukan kerusi roda untuk bergerak, selain minum susu menerusi tiub pada hidung.
Beliau tidak berseorangan kerana dibantu anak tunggal mereka, Cik Siti Nur Aliah, 21 tahun, yang sanggup melupakan impian menyambung pengajian ke menara gading demi membantu bapanya.
Bagaimanapun, Cik Siti Nur Aliah menerima tawaran menyambung pengajian dalam bidang Membakar Kek dan Pastri di GiatMARA ketika kunjungan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ke rumahnya pada Ogos lalu (2025).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg