Isu perkauman sering dipolitikkan di Malaysia.
Daripada polemik kelemahan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan bukan Melayu, sehinggalah kepada beberapa insiden bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik di serata negara, seolah-olah memberi gambaran ikatan perpaduan kaum di Malaysia mula rapuh.
Dalam suasana negara ini menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-68 pada 31 Ogos, semarak hari kebangsaan sedikit tercalar dengan timbulnya isu seperti itu yang mengheret sentimen perkauman dan diperdebatkan.
Insiden seperti itu dikatakan banyak membabitkan kaum Cina, mencetus campur tangan politik lalu mengundang serangan antara kaum, sekali gus menimbulkan naratif perpecahan kaum di Malaysia.
Namun benarkah semangat perpaduan kaum di Malaysia kian pudar atau adakah ia sekadar diburukkan oleh tanggapan yang dipolitikkan, sedangkan di peringkat akar umbi rakyat masih teguh berpaut pada nilai kebersamaan dan muhibah?
Kisah Uncle Mike, lelaki berbangsa Cina yang membesarkan tiga beradik Melayu yatim piatu sejak kecil hingga mereka kini sudah berkeluarga, serta kisah seorang ibu Melayu yang meletakkan kepercayaan anaknya dalam jagaan pengasuh berbangsa India mungkin hanya secebis daripada banyak kisah iktibar bahawa masyarakat berbilang kaum di Malaysia masih harmoni.
Ini membuktikan di sebalik perbalahan politik dan retorik kaum yang mewarnai laporan di media, realiti di peringkat akar umbi menunjukkan wajah Malaysia yang berbeza.
Profesor Antropologi Sosial Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Sarjit Singh Gill, bersetuju kebanyakan isu perpaduan kaum terutama membabitkan agama dan budaya diutarakan segelintir ahli politik untuk meraih populariti politik.
“Pada hemat saya, ia satu perbuatan dangkal kerana dasar awam seharusnya difahami ahli politik. Perkara mengenai isu yang melibatkan budaya dan agama perlu ditangani dengan rasional kerana kepelbagaian adalah kekuatan Malaysia.
“Mereka seharusnya membantu kerajaan menyemai benih perpaduan yang sihat,” katanya kepada Berita Minggu (BM).
Menurutnya, yang juga Timbalan Pengerusi Kluster Kesepaduan Sosial dan Perpaduan Nasional, Akademi Profesor Malaysia (APM), walaupun Malaysia sudah 68 tahun merdeka, Dasar Perpaduan Negara (DPN) yang berpaksikan naratif ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ sebagai agenda penting Malaysia masih gagal difahami segelintir pihak termasuk ahli politik.
“Masyarakat antarabangsa memerhatikan bagaimana kita mengurus isu perpaduan dan kepelbagaian.
“Kestabilan sosial adalah penting sebagai kayu ukur kemajuan sesebuah negara. Justeru ahli politik main peranan besar memastikan ekosistem perpaduan berfungsi pada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Pandangan beliau bahawa isu perkauman dan perpaduan kaum di Malaysia sering dijadikan alat politik berasas, berikutan Indeks Perpaduan Negara (IPNas) meningkat daripada 0.567 pada 2023 kepada 0.629 pada 2024, menjadi petunjuk perpaduan rakyat Malaysia berada pada tahap terbaik.
Menurut Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, peningkatan itu membuktikan isu perpecahan di peringkat nasional mutakhir ini tidak mempengaruhi rakyat.
BM berkesempatan mencungkil rahsia dan panduan perpaduan daripada Uncle Mike atau nama sebenarnya Encik Michael Tong Wai Siong – yang pernah diangkat sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul 2024 – atas kesudiannya menjaga anak Melayu, walaupun berbeza agama dan budaya.
Beliau mengambil tiga beradik – Encik Rafei Ahmad Fauzi, 30 tahun, Encik Rasyid Ahmad Fauzi, 29 tahun, dan Encik Abdul Rahman Ahmad Fauzi, 25 tahun – tinggal bersama sebagai anak angkatnya pada 2008, iaitu 17 tahun lalu, selepas mereka kematian ibu bapa.
Ditanya tentang makna perpaduan kaum baginya, Uncle Mike menjawab ringkas namun penuh makna:
“Bagi saya ia tentang kita dapat hidup harmoni bersama, tanpa ada syak wasangka antara satu sama lain walaupun berlainan agama dan budaya. Perlu ada toleransi.”
Beliau juga memberi pandangan tegas mengenai isu perpaduan kaum yang sering dipolitikkan.
“Bagi saya, kita hanya perlu berpegang pada lima prinsip Rukun Negara. Kalau kita faham apa Rukun Negara, kita akan hidup lebih harmoni.
“Sudah tentu akan ada ‘hantu-hantu’ yang akan buat onar, tetapi bagi saya, lebih 90 peratus rakyat Malaysia faham Rukun Negara, cuma mungkin 5 peratus saja yang cuba porak-perandakan, jadi kita jangan layan,” katanya kepada BM.
Rukun Negara merangkumi kepercayaan kepada Tuhan; kesetiaan kepada raja dan negara; keluhuran perlembagaan; kedaulatan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan.
Uncle Mike menegaskan asas perpaduan di Malaysia sebenarnya sangat kukuh dan beliau mengakui sedih dengan perkembangan terkini yang mana isu perkauman dijadikan senjata politik pihak tertentu.
Namun, pengalaman hariannya membuktikan bahawa kehidupan harmoni antara kaum bukan sekadar teori – ia wujud dan diamalkan ramai rakyat biasa.
Lebih menarik, kisah Uncle Mike dan tiga anak angkatnya itu telah difilemkan dalam filem berjudul ‘Abah Saya, Uncle Mike’ yang mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 28 Ogos 2025.
Bagi Cik Shaidatul Naqiyah Mohamad Abdullah, 26 tahun, keputusannya menghantar anak lelaki kecilnya diasuh keluarga berbangsa India dilihat sebagai keunikan hidup dalam negara berbilang kaum dan agama.
“Saya tidak pernah mempunyai pandangan negatif terhadap bangsa lain dan merasakan satu kerugian jika keunikan perpaduan kaum ini tidak dipelihara.
“Punca perkauman ialah penerimaan dan pemikiran kita. Ramai saja Melayu yang berbaik dan rapat dengan bangsa lain, tetapi mereka tidak menunjukkannya kerana media sosial banyak mencetuskan kontroversi politik berunsur perkauman,” katanya.
Cik Shaidatul Naqiyah sering berkongsi kisah anaknya, Muhammad Adam, dua tahun, yang enggan berenggang dan begitu rapat dengan keluarga pasangan Cik Banupiriya dan suaminya, Encik Gunaseelan, kededuanya 30 tahun, yang dipanggil amma dan appa.
“Ada yang tanya, saya tak bimbang ke anak terpesong budaya dan agama. Tetapi saya terkejut kerana layanan, adab, nilai hormat dan kasih sayang mereka pada kami terutama buat Adam jauh lebih tinggi berbanding yang sebangsa.
“Mereka juga sangat pembersih, pemakanan pun terjaga kerana vegetarian (tidak makan daging). Malah saya terkejut anak saya lebih beradab dan hormatkan orang tua. Kita dapat rasa keikhlasan mereka,” katanya yang mengenali keluarga itu ketika mencari pengasuh menerusi Facebook ketika Adam berusia tiga bulan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg