JEMPOL (Negeri Sembilan): Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil, membidas mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, yang didakwa menggunakan isu Melayu dan Islam bagi menghidupkan pengaruh politiknya selepas kembali ke pangkuan Umno.

Datuk Fahmi berkata kenyataan Encik Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ, yang mengaitkan persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) sebagai isyarat supaya PH lebih peka terhadap sensitiviti orang Melayu, dianggap tidak mengejutkan.

“Kita biarkanlah KJ nak bertapak semula. Dia keluar (Umno) agak lama dan nak mulakan balik asas politiknya.

“Jadi dia akan mengeluarkan apa sahaja kenyataan yang dirasa perlu supaya keberadaan dia dapat dilihat oleh orang ramai,” katanya kepada pihak media selepas Program Ziarah Kasih di Felda Palong 2 di Jempol, Negeri Sembilan, pada 20 Julai.

Mengulas dakwaan Encik Khairy bahawa Kerajaan Persekutuan kurang peka terhadap isu membabitkan Melayu, Datuk Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menegaskan, isu mempertahankan hak orang Melayu dan agama Islam bukan dimonopoli mana-mana individu atau parti.

“Saya sebagai orang Melayu sangat peka dan sensitif terhadap pelbagai perkara yang disebut. Bukan KJ seorang yang tahu pasal isu Melayu.

“Arwah datuk dan arwah nenek saya orang Umno. Arwah nenek saya orang kuat Umno dan kuat memperjuangkan nasib orang Melayu serta agama Islam. Takkan saya tinggalkan perkara seperti itu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Sehubungan itu, Datuk Fahmi mengingatkan Encik Khairy supaya tidak membina naratif yang menggambarkan seolah-olah PH tidak mempunyai pemimpin Melayu/Islam.

“(Datuk Seri) Anwar Ibrahim bukan Melayu Islam? (Datuk Seri) Mohamad Sabu bukan Melayu Islam? (Datuk Seri Dr) Dzulkefly Ahmad bukan Melayu Islam? (Datuk Seri) Amirudin Shari, (Datuk Seri) Aminuddin Harun bukan Melayu/Islam?

“Hentikanlah bermain dengan kepalsuan ini.

“Pesanan saya kepada KJ, berpada-padalah. Jangan keterlaluan sehingga seolah-olah menidakkan kewujudan pemimpin Melayu/Islam dalam PH semata-mata untuk meraih sokongan politik,” katanya.

Encik Khairy sebelum ini dilaporkan berkata persefahaman BN-PN pada PRN Negeri Sembilan memberi mesej kepada PH supaya lebih peka terhadap sensitiviti orang Melayu serta menunaikan beberapa janji yang dibuat sebelum ini.

Mantan menteri itu juga berkata hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan didakwa berdepan sesuatu yang tidak kena pada ketika ini.

Encik Khairy berkata, perkara itu dapat dilihat apabila BN memilih untuk menjalinkan kerjasama dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, walaupun masih bersama PH dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.