Topik diikuti
Pergi ke BHkuKJ: Kerjasama BN-PN di PRN Negeri Sembilan strategi penting untuk menang
KJ: Kerjasama BN-PN di PRN Negeri Sembilan strategi penting untuk menang
KJ: Kerjasama BN-PN di PRN Negeri Sembilan strategi penting untuk menang
SHAH ALAM : Mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, menyifatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, sebagai strategi penting yang boleh membantu kemenangan kedua parti itu, selepas cemerlang di PRN Johor, 11 Julai lalu.
Menurut Encik Khairy sekiranya tiada pecah undi dalam kalangan pengundi Melayu di Negeri Sembilan, tidak mustahil akan berlaku satu kemenangan besar dalam gabungan BN dan PN.
“Ada dalam kalangan ketua bahagian (Umno) di Negeri Sembilan tidak berpuas hati pada hari pengumuman dan penamaan calon mengenai penyerahan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada parti komponen PN - Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Wawasan Negara (Wawasan).
“Tapi suka atau tidak, ada sesetengah kawasan, jika undi Melayu berpecah, kita akan kalah. Saya (ambil) rujukan di Parlimen Sungai Buloh (Selangor)...bukan saya suka bagi cerita Sungai Buloh sebab Sungai Buloh ini trauma bagi saya.
“Di Sungai Buloh, Pakatan Harapan (PH) menang dengan 50,000 undi, manakala saya mendapat 48,000 undi.
“Walaupun PAS tidak berkempen secara agresif ketika itu, mereka tetap memperoleh 29,000 undi. Ini membuktikan selagi ada calon PAS, undi orang Melayu akan tetap berpecah.
“Kali ini kita mahu Negeri Sembilan hanya satu parti utama Melayu. (Jadi) BN, PAS, Wawasan jangan pecah undi kita menang besar di Negeri Sembilan nanti insya-Allah,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian ketika ucapan Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Subang di Bangunan Umno Selangor, pada malam 19 Julai.
Pada Pilihan Raya Umum 2023, Encik Khairy bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh, namun tewas kepada calon PH, Datuk Seri R Ramanan Ramakrishnan.
Oleh yang demikian, Encik Khairy menegaskan strategi keanjalan politik di Negeri Sembilan amat diperlukan bagi memastikan pengundi Melayu fokus kepada satu gabungan sahaja, demi mencapai kemenangan besar dalam PRN Negeri Sembilan.
“Yang penting adalah kepimpinan anjal, fleksibel untuk Negeri Sembilan sebab Negeri Sembilan bukan Johor. Saya orang Negeri Sembilan, saya (mantan) Ahli Parlimen Rembau tiga penggal. Saya tahulah negeri saya.
“Kalau di Johor kita penyandang, kalau di Johor kita ada Menteri Besar. Kalau di Johor memang kita sudah kuat, kita ada ‘track record,’ boleh rujuk kepada empat tahun pembangunan yang pesat.
“Di Negeri Sembilan keadaannya terbalik. Kita tumpang saja dalam kerajaan PH.
“Menteri Besarnya PH, jenteranya PH, jentera persekutuan PH, jentera negeri PH, pengundi bukan Melayu lagi ramai di Negeri Sembilan. Jadi kita kena ‘smart thinking’, anjal dalam strategi kita,” katanya.

