Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan kerjasama pilihan raya antara gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan berpotensi diperluaskan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sekiranya formula berkenaan membuahkan kejayaan.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata persefahaman sulung antara PN dengan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, akan dinilai sebelum sebarang penambahbaikan dilakukan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Saya tak nafikan perkara itu ke arah lebih baik (kemungkinan kerjasama PN-BN pada pilihan raya akan datang.)

“Sudah tentu kita akan membuat penambahbaikan, dan keputusan yang mampu kita capai dalam PRN Negeri Sembilan ini akan ditambah baik lagi supaya dalam pilihan raya lain, kita akan mendapat keputusan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan nama 11 calon PN bagi PRN Negeri Sembilan di Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan, pada malam 16 Julai.

Turut hadir ialah pemimpin parti komponen PN antaranya Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau; dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Encik P Punithan.

Kerjasama pilihan raya antara PN dengan BN pada PRN Negeri Sembilan adalah yang pertama selepas kedua-dua gabungan itu mencapai persefahaman pembahagian kerusi, dengan BN bertanding di 25 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN di 11 kerusi.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, pada Majlis Pengumuman Calon BN di Seremban, pada malam 15 Julai, hanya mengumumkan 25 calon yang akan bertanding pada PRN Negeri Sembilan, manakala baki 11 kerusi katanya akan diumumkan oleh “kawan yang boleh dipercayai”.

Mengulas matlamat kerjasama itu, Datuk Ahmad Samsuri berkata ia bukan sekadar untuk menghadapi pilihan raya, sebaliknya bagi mewujudkan pentadbiran yang lebih baik demi kepentingan rakyat dan negara.

“Kami mahu melihat keadaan lebih baik untuk masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah penting yang mampu menawarkan bentuk kestabilan politik baharu kepada Negeri Sembilan dan Malaysia.

“Saya percaya ini merupakan satu langkah yang sangat penting bukan saja kepada pengundi Melayu, tetapi juga pengundi pelbagai kaum. (Pengundi) yang ada di Negeri Sembilan akan melihat satu bentuk kestabilan baharu boleh dicapai melalui jajaran baharu PN-BN.

“Ia akan memberi nafas baru yang lebih segar kepada suasana politik negara,” katanya lagi.

Mengenai peluang gabungan itu pada PRN Negeri Sembilan, beliau berkata setiap pilihan raya mempunyai pendekatan berbeza, namun beliau yakin persefahaman dengan BN mampu menghasilkan keputusan lebih baik berbanding yang dicapai pada PRN Johor.

“Setiap pilihan raya akan menggunakan formula berbeza, begitu juga di Negeri Sembilan. Kami percaya akan mendapat keputusan yang lebih baik berbanding Johor,” katanya.

Datuk Ahmad Samsuri bagaimanapun enggan berkongsi bentuk kerjasama kempen yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh berkempen PRN Negeri Sembilan.

“Saya tidak akan beri kejutan itu lebih awal. Perkara luar biasa seperti jajaran baharu dan kempen baharu ini akan dilihat oleh pemerhati politik dan rakyat. Saya tidak akan sebut lebih awal, kita akan dapat melihatnya nanti,” katanya.

Datuk Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS, berkata PN dan BN juga masih belum membincangkan calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri, namun tidak menolak kemungkinan kedua-dua pihak menghasilkan manifesto bersama.

PRN Negeri Sembilan akan berlangsung pada 1 Ogos ini, sementara hari penamaan calon pada 18 Julai.