KJ mahu kembali sebagai ‘anak kapal biasa’ dalam Umno

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

KJ mahu kembali sebagai ‘anak kapal biasa’ dalam Umno

Ikon politik kegemaran anak muda ini ingin beri komitmen bantu perkukuh parti, baiki kelemahan yang ada
Mar 17, 2026 | 3:06 PM

KJ mahu kembali sebagai ‘anak kapal biasa’ dalam Umno

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Khairy Jamaluddin, Umno, politik Malaysia
Kehadiran mantan Ketua Pemuda Umno yang dipecat, Encik Khairy Jamaluddin, pada Perhimpunan Agung Umno 2025 pada Januari lalu, menguatkan spekulasi beliau akan kembali menyertai Umno sebelum ini. - Foto fail BERNAMA

Mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, menegaskan beliau tidak meletakkan sebarang syarat atau kepentingan peribadi dalam usahanya kembali bersama parti itu.

Beliau yang sudah menyerahkan surat rayuan untuk kembali menyertai Umno kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 15 Mac, berkata hasratnya hanya untuk menyumbang sebagai ‘anak kapal biasa’ dalam perjuangan parti itu.

Mantan menteri berusia 50 tahun yang digemari anak muda itu turut menggunakan analogi bahtera bagi menggambarkan komitmennya untuk membantu memperkukuh parti.

Ini termasuk membaiki kelemahan yang ada demi memastikan perjalanan pertubuhan politik itu terus kukuh.

“Di saat politik tanah air berdepan ketidaktentuan dan lautan bergelora, sangat penting bahtera perjuangan bangsa – Umno – yang ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu dan membangunkan negara untuk seluruh rakyat Malaysia diperkuatkan.

“Saya tidak minta kembali kepada bahtera bangsa ini dengan apa-apa syarat, hajat peribadi atau permintaan. Cukuplah untuk saya diberi peluang untuk menjadi seorang anak kapal biasa.

“Jika ada papan yang longgar, saya akan membantu mengetatkannya. Jika ada paku yang perlu dipalu, saya akan bantu memalunya. Jika ada palka (ruang) yang perlu ditutup rapat agar air tidak masuk, saya akan pastikan ia terkunci kemas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada 16 Mac.

Menurut Encik Khairy, perkara paling utama adalah memastikan bahtera bangsa terus belayar meredah cabaran zaman, sambil membawa harapan ke arah penyatuan yang lebih kukuh.

“Yang penting, bahtera bangsa ini terus belayar meredah ombak dan badai zaman, membawa bersama harapan besar – penyatuan sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah,” katanya.

Dalam catatan itu, menantu mantan Perdana Menteri Malaysia, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi itu terlebih dulu menghargai keterbukaan dan kebesaran hati Datuk Ahmad Zahid dalam membuka ruang melangkah ke hadapan demi memperkukuhkan perjuangan Umno.

“Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, saya mensyukuri kesempatan yang diberikan untuk kembali meneruskan khidmat bakti dalam perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

“Terima kasih kepada Presiden Umno (Datuk Ahmad Zahid) yang telah menerima kunjungan saya atas semangat Rumah Bangsa di bulan Ramadan yang mulia ini.

“Dengan jiwa besar, beliau telah menerima saya kembali ke rumah lama saya, satu-satunya rumah yang saya kenali,” katanya lagi.

Permohonan Encik Khairy untuk kembali menyertai Umno menyusuli penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang diumumkan Datuk Ahmad Zahid di pentas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 pada Januari lalu, yang bertujuan menyeru anggota parti yang pernah dipecat, digantung atau telah meninggalkan Umno untuk kembali kepada parti.

Ia dilihat sebagai satu langkah memperkukuhkan Umno sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka pada 2027.

Sementara itu Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan, Pengerusi Umno Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata keahlian Encik Khairy dijangka di sebuah cawangan parti dalam Bahagian Sungai Buloh, Selangor.

Encik Khairy sebelum ini dipecat daripada Umno pada 2023, iaitu selepas PRU15.

Pada PRU15 beliau bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh, selepas Datuk Ahmad Zahid meletakkan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan, di kerusi Parlimen Rembau, Negeri Sembilan, yang sebelum itu dipegang Encik Khairy selama tiga penggal.

“Saya tidak minta kembali kepada bahtera bangsa ini dengan apa-apa syarat, hajat peribadi atau permintaan. Cukuplah untuk saya diberi peluang untuk menjadi seorang anak kapal biasa. Jika ada papan yang longgar, saya akan membantu mengetatkannya. Jika ada paku yang perlu dipalu, saya akan bantu memalunya. Jika ada palka (ruang) yang perlu ditutup rapat agar air tidak masuk, saya akan pastikan ia terkunci kemas.”
Encik Khairy Jamaluddin, Mantan Ketua Pemuda Umno.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg