Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

KJ: Tidak pernah tinggalkan Umno meskipun disingkir parti

Nov 3, 2025 | 1:34 PM
Khairy, Umno, tidak, keluar
Mantan menteri dan ahli politik terkenal Malaysia, Encik Khairy Jamaluddin. - Foto FACEBOOK KELUAR SEKEJAP

KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Kesihatan, Encik Khairy Jamaluddin, menegaskan beliau tidak pernah meninggalkan Umno, sebaliknya parti itulah yang menyingkirkannya.

Perkara itu ditegaskan Encik Khairy yang juga mantan Ketua Pemuda Umno melalui satu hantaran di Instagram, pada 2 November.

Hantaran itu menjawab satu kenyataan dibuat Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin, yang dilapor menasihati Encik Khairy supaya kekal komited terhadap Umno sekiranya memutuskan untuk kembali kepada parti itu.

“Ada beberapa orang yang memberi komen terhadap laporan berita (mengenai hasrat kembali semula ke pangkuan Umno).

“Biar saya jelaskan, saya tidak pernah tinggalkan Umno. Kamu (Umno) yang singkirkan saya. Jangan sesekali cuba mengubah fakta sebenar,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Baru-baru ini media Malaysia melaporkan Encik Khairy dijangka menyertai semula Umno sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pada akhir November ini.

Encik Khairy dilaporkan sudah memperoleh ‘restu’ pimpinan tertinggi Umno khususnya Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk kembali ke pangkuan parti.

Penyertaan semula Encik Khairy ke dalam Umno dijangka memberi momentum baru kepada hala tuju parti itu, yang kini berusaha menambat kembali sokongan orang Melayu khususnya anak muda.

Encik Khairy dipecat pada Januari 2023, susulan kelantangannya mengkritik kepimpinan tertinggi Umno sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun sejak itu, Encik Khairy berulang kali menegaskan pendirian untuk tidak menyertai mana-mana parti oleh kerana kesetiaan kepada Umno.

Pada PRU15, Encik Khairy yang dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) di kerusi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) iaitu Parlimen Sungai Buloh, di Selangor, tewas namun masih mampu meraih undi memberangsangkan selain memecah dominasi undi besar diperoleh Pakatan Harapan (PH).

Beliau tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik R Ramanan, dengan majoriti 2,693 undi.

Ketika itu, Encik Khairy yang juga mantan Ahli Parlimen Rembau (Negeri Sembilan), berkata beliau sedia menjawab desas-desus mengenai dakwaan beliau akan kembali kepada Umno, namun memohon diberikan sedikit masa.

“Ramai yang menghantar mesej bertanyakan apa yang berlaku... beri saya beberapa minggu sebelum saya bersedia untuk menjawab,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg