KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, membuat laporan polis selepas dikaitkan dengan serangan terhadap anak Ahli Parlimen (AP) Pandan (Kuala Lumpur), Datuk Seri Rafizi Ramli.
Datuk Ismail Sabri berkata laporan polis dibuat oleh Setiausaha Akhbarnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, terhadap satu laman Facebook yang menerbitkan dua artikel palsu dan berunsur fitnah, yang mengaitkannya dengan insiden tersebut serta satu skandal melibatkan sebuah syarikat swasta.
“Laporan juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Facebook supaya tindakan segera diambil terhadap laman serta pengendali atau pemiliknya,” kata AP Bera (Pahang) itu, lapor Malaysiakini.
“Keseluruhan kandungan artikel yang dimuat naik dalam laman Facebook tersebut tidak benar sama sekali dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi serta nama baik saya.
“Saya mohon pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik atau pengendali akaun Facebook ini serta mana-mana pihak yang menyebarkan artikel terbabit.
“Saya juga telah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya terhadap pihak terbabit,” katanya lagi.
Datuk Ismail Sabri turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Rafizi yang sebelum ini tampil menjelaskan dan menafikan kaitan beliau dalam kes serangan terhadap anak lelakinya di media sosial mantan Menteri Ekonomi itu.
Terdahulu, Datuk Rafizi mendedahkan perjumpaannya dengan pemberi maklumat berkait ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang juga mantan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Rafizi sebelum ini membayangkan serangan terhadap anak lelakinya yang berusia 12 tahun dengan jarum suntikan di tempat letak kereta pusat beli-belah di Putrajaya mungkin ada kaitan langsung dengan pertemuan tersebut.
Ketika itu, Datuk Rafizi hanya menyebut pertemuan itu melibatkan ‘seorang individu’, namun beliau kemudian mendedahkan butiran lanjut selepas ada usaha mengaitkannya dengan Datuk Seri Ismail Sabri dan mantan Menteri Kesihatan, Encik Khairy Jamaluddin, atas dakwaan beliau sedang menyiasat kes yang dikaitkan dengan mereka.
Datuk Rafizi menyifatkan penyebaran cerita tidak benar bertujuan mengalih perhatian rakyat dan siasatan.
Pada 13 Ogos lalu, Datuk Rafizi mendedahkan seorang lelaki mengheret anaknya yang berusia 12 tahun dan mencucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba ketika mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah itu bersama isterinya, pada 1.45 tengah hari.
Isteri Datuk Rafizi turut menerima dua mesej ugutan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg