Kedai serbaneka kontroversial di Malaysia, KK Supermart, yang kali ini terpalit isu roti sandwic ham dan cheese (kepingan daging dan keju) menggunakan logo halal tidak sah, telah membekukan urusan perniagaan dengan syarikat pengeluar makanan berkenaan untuk siasatan lanjut pihak berkuasa.
Syarikat KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) dalam satu kenyataan pada 13 Januari malam, turut menghentikan kemasukan produk daripada Shake and Bake Cafe itu di semua cawangan KK Supermart, termasuk di 16 kedai konsep KK dan menutup dua premis di Universiti Malaya (UM) sepanjang tempoh siasatan.
“Untuk makluman semua, produk sandwic itu dikilangkan dan diusahakan oleh syarikat pengeluar, dengan produk terbabit dipasarkan kepada pelanggan melalui beberapa platform perniagaan termasuk di kedai konsep KK.
“Pihak Shake and Bake Cafe mengemukakan (kepada KK Mart) sijil halal bagi chicken ham (kepingan ayam) dan kepingan keju tersebut. Penulisan perkataan halal pada pembungkusan sandwic terbabit adalah daripada Shake and Bake Cafe,” menurut kenyataan KK Supermart.
Pihak KK Supermart melalui peguam dilantik sudah menghantar surat tuntutan (LOD) kepada syarikat pembekal makanan terbabit pada 10 Januari lalu serta membuat laporan polis pada 12 Januari.
Pada 11 Januari lalu, Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur, menutup serta merta dua premis jualan KK Supermart 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwic yang diragui status halalnya.
Polis juga mengesahkan menerima satu aduan pada 10 Januari daripada pelajar berhubung penjualan sandwic berlabel ham and cheese di KK Supermart dalam UM.
Menyusuli itu, pelbagai pihak menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang bertanggungjawab dalam hal ehwal halal menjalankan siasatan lanjut dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab yang mengelirukan umat Islam dengan penggunaan logo halal tidak sah pada makanan.
Siasatan Jakim kemudian mengesahkan produk sandwic ham dan cheese yang dijual di KK Supermart UM, tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk itu bukan pemegang SPHM.
Jakim dalam kenyataan pada 13 Januari memaklumkan turut melakukan pemeriksaan di lapangan bersama KPDN sebaik menerima laporan isu itu, dan mendapati tindakan pihak syarikat mencetak logo halal Malaysia pada label produk berkenaan adalah satu kesalahan.
Sebelum ini pada Mac 2024, KK Supermart mendapat kecaman dan kritikan ramai selepas kedai serbaneka itu tular di media sosial kerana menjual stoking tertera kalimah Allah.
Kejadian itu menyebabkan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) serta syarikat pembekal stoking, Xin Jian Chang Sdn Bhd, masing-masing didenda RM60,000 ($18,319) oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, atas tuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg