JOHOR BAHRU: Warga Malaysia yang melakukan perjalanan antara Johor dengan Singapura tidak perlu risau tentang pelaksanaan sistem kod respons pantas (QR) untuk pemeriksaan Jabatan Imigresen di Johor Bahru yang bermula 1 Jun, kerana pihak berkuasa Malaysia sudah bersedia memastikan kelancaran proses itu.
Pemangku Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Johor, Encik Mohd Faizal Shamsudin, berkata walaupun tempoh pembuktian konsep (POC) penggunaan kod QR itu hanya bermula pada 1 Jun, laluan pelepasan MBike, E-gate sedia ada dan kaunter manual masih tersedia untuk digunakan oleh pengembara.
“Orang ramai tidak perlu panik kerana mereka masih boleh melepasi pemeriksaan imigresen seperti biasa, walau tanpa menggunakan sistem kod QR baru sepanjang tempoh POC sehingga 31 Ogos 2024.
“Namun sudah tentu, kami menggalakkan pengembara supaya mendaftar dan mencuba sistem baru dalam tempoh POC ini, tetapi tidak wajib bagi mereka berbuat demikian sehingga kami mengumumkan tarikh akhir,” katanya lapor The Star.
Beliau berkata dalam tempoh POC, Jabatan Imigresen akan menguji beberapa sistem kod QR untuk semua jenis pengangkutan.
“Sebagai permulaan, sistem kod QR hanya boleh digunakan mereka yang menaiki bas dan motosikal di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor Bahru melalui MyTRIP, yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera.
“Mereka perlu mengemas kini aplikasi MySejahtera terlebih dulu sebelum boleh menggunakan MyTRIP yang mempunyai pautan dengan pasport mereka dan menjana kod QR, yang kemudiannya akan diimbas untuk pelepasan imigresen.
“Kod QR hanya akan sah selama 30 saat sebagai sebahagian daripada ciri keselamatannya. Jika mereka terlepas, mereka perlu menjana kod QR yang baru,” katanya.
Encik Mohd Faizal berkata sepanjang tempoh POC, KSAB akan mempunyai enam lorong khusus untuk penumpang bas yang ingin mencuba sistem kod QR dan 10 lorong untuk penunggang motosikal.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg