JOHOR BAHRU: Hari pertama pelaksanaan sistem kod QR baru untuk memudahkan pelepasan di sempadan Malaysia-Singapura mengalami masalah, setelah banyak lorong motosikal yang dilengkapi sistem baru itu tidak berfungsi dengan baik.
Di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), hanya satu daripada tujuh lorong yang dipasang dengan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), yang menggunakan aplikasi mudah alih MyNIISe, berfungsi pada 15 Oktober.
Sementara itu, di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) hanya dua daripada lapan lorong motosikal berfungsi.
Namun, sistem yang dipasang di dewan bas di kedua-dua pusat pemeriksaan itu berfungsi tanpa masalah, lapor The Star.
Selain itu, sistem MyNIISe yang dipasang di sekurang-kurangnya 16 lorong kereta – lapan lorong untuk masuk dan lapan lorong untuk berlepas – di BSI beroperasi seperti biasa, bersama-sama dengan 12 lorong kereta (enam setiap satu untuk masuk dan keluar) di KSAB.
Sistem MyNIISe kali pertama beroperasi dengan kereta penumpang pada 22 September manakala pelaksanaan bagi motosikal, pejalan kaki dan pengguna bas bermula pada 15 Oktober.
Penunggang motosikal Encik Daniel Tan, 42 tahun, berkata, beliau terkejut apabila mendapati hanya satu lorong boleh digunakan ketika hendak ke tempat kerja kira-kira 6.30 pagi.
“Saya putuskan untuk gunakan MyBorderPass saya yang lain untuk mengelakkan sebarang kesesakan kerana saya perlu ke Singapura awal,” katanya.
Encik Tan berharap kedua-dua kod QR bagi MyNIISe dan MyBorderPass dapat disepadukan supaya orang ramai boleh menggunakan mana-mana lorong dan bukannya pergi ke lorong yang ditetapkan kerana kedua-dua sistem tidak boleh ditukar ganti pada masa ini.
Seorang lagi penunggang motosikal, Encik Zulkifli Ramli, 32 tahun, yang bekerja di Singapura sebagai teknisyen, berkata lebih banyak publisiti perlu diberikan supaya orang ramai menggunakan kod QR baru itu.
Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri ketika dihubungi berkata usaha sedang dilakukan untuk memulihkan sistem MyNIISe di lorong motosikal itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata sehingga kini kira-kira 250,000 orang telah memuat turun MyNIISe dengan 82,000 sudah mendaftar.
“Saya dimaklumkan sebilangan besar mereka yang mendaftar adalah warga Singapura,” katanya sambil menambah, setakat ini penggunaan sistem baru itu masih rendah dengan kira-kira 800 hingga 1,000 orang setiap hari.
Semasa fasa perintis ini, sistem kod QR MyBorderPass semasa akan kekal beroperasi buat kira-kira 400,000 rakyat Malaysia.
Kod QR MyNIISe bukan sahaja tersedia buat rakyat Malaysia. Pengembara dari 63 negara boleh menggunakan kod QR untuk memasuki Malaysia, manakala warga 71 negara boleh menggunakannya untuk berlepas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg