Konflik Asia Barat: Kerajaan M’sia usaha kekal subsidi petrol RM1.99 seliter

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konflik Asia Barat: Kerajaan M’sia usaha kekal subsidi petrol RM1.99 seliter

Mar 9, 2026 | 5:02 PM

Konflik Asia Barat: Kerajaan M’sia usaha kekal subsidi petrol RM1.99 seliter

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Datuk Seri Anwar Ibrahim, minyak, Middle East conflict, Timur Tengah
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga dari kanan), bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali (dua dari kiri); Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (dua dari kanan); dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz, pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pada 9 Mac.  - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia akan berusaha sedaya mungkin untuk mengekalkan harga petrol RON95 pada paras RM1.99 ($0.64 sen) seliter supaya ia tidak membebankan rakyat, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata meskipun harga minyak dilaporkan semakin meningkat di pasaran dunia, namun keadaan di Malaysia masih terkawal dengan ketetapan harga RON95 yang rendah menerusi subsidi bersasar.

“Harga minyak mentah Brent hari ini satu barel (tong) sudah naik 100 dolar Amerika Syarikat.

“Kita masih bertahan dengan RM1.99 untuk harga petrol bersubsidi menerusi program Budi95 dan kita akan jalankan ikhtiar semaksimum mungkin supaya tidak membebankan rakyat,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 9 Mac.

Justeru, Datuk Anwar berkata beliau menyatakan penghargaannya terhadap seluruh jentera KPDN yang membantu negara dan rakyat mengawal kos sara hidup melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Jualan Rahmah Madani (PJRM).

Beliau berkata tanpa komitmen warga KPDN yang sedia bekerja sehingga empat kali ganda berbanding bulan sebelumnya, ia tidak dapat dilakukan.

“Saya belum dengar ada rungutan.

“Ini kesabaran luar biasa. Kadangkala yang merungut, Menteri yang memaklumkan dalam mesyuarat ada anak-anak buahnya dibebankan dengan begitu banyak tugas.

“Tetapi dia, seperti saya, juga bangga dengan komitmen saudara-saudara menjayakan program ini kerana program ini secara langsung memberi manfaat kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Datuk Anwar menegaskan sokongan Malaysia terhadap Iran yang mempertahankan kedaulatan negaranya susulan serangan rejim Zionis Israel dan Amerika.

“Kebetulan Ramadan bermula dengan serangan ganas rejim Zionis Israel dengan Amerika menyerang Iran, yang tentunya mengundang tindak balas, dan tindak balas itu sesuatu yang kita rasa hak Iran mempertahankan kedaulatan negaranya, mempertahankan kemerdekaannya.

“Tetapi dalam tindak balas itu, ada tindakan yang menyebabkan kesan itu ke negara jiran.

“Mulanya di kawasan yang disebut kawasan pangkalan tentera Amerika, tetapi apa yang berlaku ada juga tempiasnya ke kawasan awam, ada orang, masyarakat yang meninggal dan ada kerosakan harta benda.

“Sebab itu, kita juga antara yang terpanggil untuk menghubungi Iran dan negara sahabat untuk menyatakan sokongan kita kepada Iran dalam mempertahanan negara itu konsisten dengan pendirian Malaysia selama ini,” katanya.

Datuk Anwar berkata pendirian Malaysia tidak bersetuju dengan keganasan, kerakusan kuasa dan percubaan menakluk atau mengganggu gugat negara lain.

Terdahulu dalam satu kenyataan pada 9 Mac, Datuk Anwar menyeru semua pihak supaya menahan diri serta memperbaharui usaha diplomatik menyusuli ketegangan yang semakin memuncak di rantau Teluk dan Asia Barat.

Beliau berkata seruan itu sejajar dengan pendirian bipartisan yang berprinsip diambil oleh Parlimen Malaysia.

“Saya terdorong dengan seruan agar mengekalkan kewaspadaan yang telah muncul daripada pihak tertinggi di Iran di tengah konflik yang berterusan di negara Teluk dan Asia Barat.

“Seruan itu wajar diambil dengan serius dan dihormati.

“Sentiasa ada suara yang menggesa pendekatan lebih tegas, tetapi sejarah jarang menyebelahi mereka yang memilih mengemukakan perkara itu ke peringkat lebih tinggi berbanding rundingan apabila pintu dialog masih terbuka dan untuk menjaganya, ia memerlukan peningkatan atau penambahan keberanian sebenar,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg