KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) bersiap sedia dengan pelbagai kemungkinan terutama berkaitan perjalanan, keselamatan serta kelancaran ibadah bagi jemaah haji musim 202.

Ia turut mempunyai pelan bencana khusus yang akan disesuaikan mengikut perkembangan semasa konflik Timur Tengah.

Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air (OHTA), Lembaga TH, Encik Mohd Norber Kassim, berkata persediaan dibuat sejak awal mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata TH turut mengambil kira nasihat kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan maklumat semasa daripada kerajaan Arab Saudi.

“TH bersiap sedia dengan pelan bencana, yang mana sebelum ini iaitu sebelum krisis (sudah dirangka). Kita juga ada SOP berkaitan pelan bencana ini.

“Insya-Allah pelan ini akan kita sesuaikan dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan semasa (krisis Timur Tengah). Kita doakan semoga urusan haji berjalan lancar, sebagaimana dirancang,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas lawatan media bagi operasi Haji musim 2006 yang diadakan di Hotel dan Pusat Konvensyen Movenpick (MHCC), di Sepang, Selangor, pada 15 April.

Sementara itu, ditanya kebimbangan jemaah berhubung perlindungan insurans sekiranya berlaku sebarang keadaan yang tidak diingini, berkait dengan konflik Timur Tengah ketika di Tanah Suci, Encik Mohd Norber, berkata perkara itu turut berada dalam perhatian TH.

“Insya-Allah semuanya di bawah pengurusan TH kerana ia berkait dengan jemaah haji Malaysia. Jadi TH akan lihat semua perkara (termasuk berkaitan insurans),” katanya.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada bakal jemaah supaya meluruskan niat sebelum terbang ke Tanah Suci dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada hal berkaitan ibadah.

“Apa yang penting bakal jemaah haji bulatkan niat mereka ke Tanah Suci untuk tunaikan ibadah haji.

“Insya-Allah TH akan berada di sektor penting (perjalanan ibadah haji), sama ada di tanah air atau di Tanah Suci nanti, termasuk di Jeddah, Madinah, Makkah, Muzdalifah, Arafah dan Mina.

“Petugas kita, insya-Allah, daripada petugas kebajikan dan perubatan bersiap sedia dan komited berikan perkhidmatan terbaik bantu bakal jemaah untuk capai haji mabrur,” katanya.

Penerbangan jemaah haji ke Tanah Suci dijadual bermula dari 18 April ini hingga 20 Mei manakala penerbangan pulang pula bermula dari 4 hingga 30 Jun.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan untuk membawa seramai 31,600 anggota jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bagi 2026.