Topik diikuti
Pergi ke BHkuKongres PKR di Melaka jadi medan ‘bedah siasat’ PRN Johor, N. Sembilan
PUTRAJAYA: Kongres Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 15 dan 16 Ogos ini dijangka menjadi medan muhasabah dan `bedah siasat’ parti itu menyusuli keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata perwakilan daripada kedua-dua negeri berkenaan dijangka membangkitkan perkara yang disaksikan sepanjang PRN ke-16 itu, selain mengemukakan pengajaran dan tindakan yang perlu diambil parti.
Menurutnya, selain memenuhi keperluan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) selaras perlembagaan parti, kongres berkenaan akan membincangkan langkah penambahbaikan dalaman berdasarkan dapatan daripada PRN terbabit.
“Sudah pasti isu-isu yang akan dibangkitkan saya kira oleh perwakilan dari Johor dan juga Negeri Sembilan, apa yang mungkin disaksikan untuk bukan hanya bermuhasabah, mengambil ibrah, mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
“Dan apa tindakan yang perlu diambil dalaman parti, itu yang pertama. Sama ada dari segi jentera, tugasan, dari segi mungkin persiapan calon dan sebagainya,” katanya semasa sidang media di Putrajaya pada 5 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.
Mengulas lanjut, Datuk Fahmi berkata kongres itu juga berkemungkinan membincangkan keperluan mengambil tindakan berkaitan dasar kerajaan berdasarkan dapatan yang dikemukakan perwakilan.
“Selain daripada mungkin apakah perlu diambil apa-apa tindakan mengenai dasar kerajaan. Sebagai contoh, mungkin ada dapatan yang akan dilonjakkan oleh perwakilan dalam kongres itu nanti,” katanya.
Pada PRN Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini, gabungan Pakatan Harapan (PH) mengalami kekalahan teruk dalam kededua pilihan raya berkenaan.
Di Johor, PH memenangi hanya lapan daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi, merosot berbanding 11 pada PRN 2022.
Manakala di Negeri Sembilan, PH yang menjadi gabungan kepada PKR, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah) itu hanya memperoleh 11 daripada 36 kerusi ditandingi, berbanding 17 kerusi pada PRN 2023.
PKR akan mengadakan Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Ayer Keroh, Melaka, yang dijangka menghimpunkan kira-kira 2,500 perwakilan dan 3,000 pemerhati.
Pengarah Kongres Nasional Keadikan 2026, Encik Saifuddin Shafi Muhammad, berkata perasmian kongres dan ucapan dasar akan disempurnakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Persidangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan pula, berlangsung sehari lebih awal.
