Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konsulat Jeneral Indonesia cadang hospital M’sia ambil jururawat Indonesia

Aug 6, 2025 | 1:55 PM
Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Encik Sigit S. Widiyanto.
Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Encik Sigit S. Widiyanto. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru mencadangkan satu kerjasama strategik dengan hospital di Malaysia bagi membolehkan jururawat dari Indonesia berkhidmat di negara itu sekali gus menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perubatan.

Encik Sigit S Widiyanto berkata langkah itu adalah situasi menang-menang memandangkan ketika ini kira-kira 70 peratus pesakit antarabangsa di Malaysia berasal dari Indonesia.

Beliau optimis langkah itu akan memberi manfaat dua hala kerana Malaysia berdepan kekurangan tenaga kesihatan termasuk jururawat manakala Indonesia mempunyai lebihan tenaga kerja dalam bidang itu.

“Mungkin di Johor, Melaka, kemudian di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, hampir semuanya mencatatkan purata 70 peratus pesakit (antarabangsa) adalah rakyat Indonesia. Beberapa hospital di Sabah juga, saya dimaklumkan perkara yang sama.

“Oleh itu, sudah tentu ia akan menjadi situasi menang-menang sekiranya lebih ramai jururawat kami dapat bekerja di sini. Dari segi komunikasi, tiada masalah kerana saling memahami. Dari segi peluang, begitu juga dari segi budaya,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini, lapor Berita Harian Malaysia.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata hospital utama di Johor Bahru sedang berdepan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan yang serius dan kritikal, menyaksikan seorang jururawat terpaksa menguruskan lebih 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8.

Encik Sigit berkata pihaknya ketika ini telah memulakan kerjasama peringkat negeri dengan sebuah hospital di Johor, termasuk melaksanakan proses pengambilan calon sebelum mengemukakannya kepada pihak berkuasa di Kuala Lumpur untuk kelulusan.

“Ini memerlukan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Jururawat Malaysia dan pihak berkepentingan lain. Namun, kami mencuba kerana selama ini belum pernah dilakukan,” katanya.

Beliau berkata jururawat dari Indonesia kini sudah diiktiraf di banyak negara termasuk Singapura, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Australia dan Jerman, membuktikan mereka berkemampuan untuk berkhidmat di Malaysia.

“Kalau jururawat Indonesia boleh bekerja di negara tersebut tentu mereka juga boleh bekerja di Malaysia.

“Secara Asean, negara anggota juga telah bersetuju bahawa jururawat adalah antara profesion terbuka yang boleh berpindah negara. Tentu perlu ada penyesuaian kemahiran dan lain-lain mengikut peraturan sedia ada, namun itu bukan masalah besar,” ujarnya.

Beliau berkata pihaknya turut merancang menumpukan pengambilan jururawat dari Kepulauan Riau, dan Riau sebagai usaha permulaan untuk menempatkan tenaga kerja bidang kesihatan itu di hospital Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg