RANTAU PANJANG (Kelantan): Taktik licik sindiket penyeludupan dadah menyeludup 55.9 kilogram (kg) dadah jenis ganja menggunakan 13 kotak kononnya mengandungi coklat dan teh akhirnya tumpas selepas dirampas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, pagi 19 Mei.
Rampasan membabitkan nilai keseluruhan lebih RM2 juta ($604,008) itu dilakukan Batalion 9 dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Daerah Pasir Mas di Pangkalan Haram Tok Awang Belulang, di sini, pada 7.30 pagi 19 Mei.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata menerusi rampasan berkenaan pihaknya turut menahan dua individu masing-masing seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dan seorang wanita warga Thailand berusia 52 tahun.
Katanya, rampasan dilakukan selepas pihaknya melihat sebuah pikap dan dua suspek sedang memunggah kotak dari pangkalan haram ke kenderaan terbabit.
“Pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemui 13 kotak yang bertulis coklat dan teh. Kotak berkenaan mengandungi lebih 80 paket plastik lutsinar dan di dalamnya terdapat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja.
“Nilai rampasan keseluruhan termasuk dadah dan kenderaan membabitkan lebih RM2 juta. Ujian air kencing yang dilakukan terhadap suspek turut mendapati suspek wanita warga Thailand positif dadah jenis methamphetamin,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Katanya, rampasan dan tangkapan diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
“PGA akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan di pangkalan haram bagi memastikan tiada sebarang pembolosan dan penyeludupan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg