PETALING JAYA: Sebuah syarikat pastri dan pengarahnya yang membekalkan 366 sandwic pelbagai jenis yang tular di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM), didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini pada 24 Januari atas 12 tuduhan menggunakan logo halal palsu supaya makanan itu boleh dimakan orang Islam, awal Januari.
Bagaimanapun, pengarah syarikat Shake and Bake Cafe Sdn Bhd, Ewe Sarn Yeun, 65 tahun, mengaku tidak bersalah sejurus semua tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dr Sharliza Warnoh dan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor.
Mengikut enam tuduhan, tertuduh didapati menawarkan untuk membekalkan 366 produk makanan sandwic membabitkan enam perisa dengan menggunakan logo halal Malaysia untuk menunjukkan makanan itu boleh dimakan orang Islam dengan cara bertentangan dengan Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Produk makanan itu membabitkan 50 Mixed Tuna Sandwic; 43 Mixed Potato Sandwic; 77 Mixed Chicken Sandwic; 74 Egg Mayo Sandwic; 66 Ham & Cheese Sandwic dan 56 Chili Crabstick Sandwic.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Shake and Bake Cafe Sdn Bhd, Sunway Damansara, di sini, pada 12.50 tengah hari, 10 Januari lalu, lapor Berita Harian Malaysia.
Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM100,000 ($30,510) atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, syarikat berkenaan yang diwakili Ewe selaku pengarah juga tidak mengaku bersalah atas enam tuduhan sama di tempat, tarikh dan waktu sama.
Sementara itu, Ewe dan syarikatnya tidak mengaku bersalah masing-masing didakwa satu tuduhan menggunakan cap dagangan berdaftar iaitu logo halal Malaysia yang salah pada 366 bungkusan sandwic terbabit di lokasi, tarikh dan waktu sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Encik Shafiq Mahadi, dan Encik Hakiim Izani menawarkan jaminan RM60,000 bagi setiap tuduhan.
Ini kerana ia membabitkan kes berkepentingan awam, selain memohon syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat KPDN, Putrajaya, sebulan sekali sehingga kes selesai.
“Kes yang dipertuduhkan di mahkamah ini adalah rentetan daripada video yang tular di media sosial dan syarikat serta pengarah yang dipertuduhkan adalah pembekal kepada barangan yang menjadi isu.
“Sewajarnya tuduhan ini memberi mesej kepada pembekal lain tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.
Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Ewe dan syarikat itu pula memohon jaminan RM120,000 bagi semua tuduhan dengan mengambil kira reputasi anak guamnya yang memberikan kerjasama kepada KPDN sepanjang siasatan.
“Pihak kami menegaskan isu kepentingan awam dibangkitkan pendakwaan adalah bukan terhadap tertuduh ini, tetapi syarikat lain menjadi tular di dada akhbar dan media sosial, tidak membabitkan syarikat Shake and Bake Cafe,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg