Kreativiti peniaga, menu unik meriahkan bazar Ramadan di M’sia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kreativiti peniaga, menu unik meriahkan bazar Ramadan di M’sia

Mar 12, 2026 | 1:48 PM

Kreativiti peniaga, menu unik meriahkan bazar Ramadan di M’sia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kreativiti peniaga, menu unik, bazar Ramadan M’sia
Peniaga akok, Gabriel Adam Abdul Malik Abdullah, 17 tahun, cekap bermain dengan api untuk memasak kuih tradisi dari Kelantan itu mengikut cara tradisional. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Walaupun Ramadan hampir melabuhkan tirai, kemeriahan bazar di serata Malaysia kekal memukau pengunjung.

Tinjauan Berita Harian (BH) di sekitar bazar Ramadan Lembah Klang mendapati selain menu unik dan menarik, daya tarikan peniaga dapat menambat perhatian pelanggan.

Ia sering menjadi sebab pengunjung sanggup beratur panjang demi membeli juadah idaman.

Bagi peniaga, tempoh penghujung Ramadan ini menjadi amat penting untuk melonjakkan jualan, didorong permintaan tinggi terhadap makanan popular di bazar.

Di bazar Ramadan Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Cik Mastura Hamzah, 53 tahun, seorang peniaga martabak mini, berjaya menjual lebih 2,500 biji martabak mini setiap hari.

Pelanggan mula membanjiri gerainya seawal 3 petang.

Beliau, yang berasal dari Gua Musang, Kelantan, mendedahkan setiap hari sepanjang Ramadan, sebanyak 22 kilogram tepung dihabiskan untuk menghasilkan ribuan biji martabak mini yang dijual pada harga RM1 ($0.32) sebiji.

“Alhamdulillah, walaupun sudah di ambang penghujung Ramadan, pelanggan tetap ramai, malah saya dapat ramai pelanggan baru tahun ini (2026).

“Biasanya pada tahun-tahun sebelum ini saya buka dua tapak niaga di bazar Ramadan dan mampu menjual hingga 5,000 keping martabak.

“Tetapi pada 2026 ini hanya tumpu di Wangsa Maju kerana sukar hendak cari orang yang mahir tebar doh martabak. 

“Nampak macam mudah untuk tebar doh martabak, tetapi hakikatnya ia lebih mencabar dan sukar kerana saiz yang lebih kecil daripada martabak biasa di pasaran,” katanya ketika ditemui BH.

Pelanggannya, Encik Kamarul Farid Hisham, 44 tahun, berkata beliau membeli martabak mini itu hampir setiap hari kerana gemarkan kelainan rasanya, selain saiz kecil yang memudahkan ia untuk dimakan.

“Kalau beli martabak saiz biasa, anak-anak saya tak larat dan tak minat nak makan. Tetapi kalau beli saiz mini ini, mereka berebut dan mudah habiskan, jadi tiada pembaziran,” katanya.

Sementara itu, anak muda yang meneruskan perniagaan warisan bapanya menjual kuih akok, Gabriel Adam Abdul Malik Abdullah, 17 tahun, pula sanggup berpanas bermain dengan api untuk memasak kuih itu mengikut cara tradisional.

Kelainan memasak akok menggunakan dapur arang dan tempurung kelapa yang ditonjolkan Gabriel Adam, berjaya memikat pembeli yang berkunjung ke bazar Ramadan terpanjang di Kuala Lumpur itu.

“Apabila menggunakan teknik ini, ia lebih makan masa dan tenaga serta menuntut kita lebih berhati-hati terutama dalam mengawal tahap api. 

“Tetapi kelainan teknik ini memudahkan saya memasarkan jualan kerana orang ramai tertarik untuk singgah membeli,” katanya.

Setiap 10 keping kuih itu memerlukan tempoh memasak antara lima dengan enam minit dan setiap keping kuih berharga antara RM2 dengan RM7 mengikut perisa.

Durian goreng jualan Encik Abdul Rahman Idris (kiri), di bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya, mendapat sambutan baik pelanggan.
Durian goreng jualan Encik Abdul Rahman Idris (kiri), di bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya, mendapat sambutan baik pelanggan. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Tinjauan di bazar Ramadan Presint 3 Putrajaya pula mendapati, seorang peniaga asal Johor, Encik Abdul Rahman Idris, 30 tahun, mengetengahkan jualan durian goreng, yang menurutnya sukar didapati di Lembah Klang.

“Idea menjual durian goreng ini tercetus selepas kami rasai keenakannya di sebuah hotel di Johor pada 2016.

“Saya lihat tidak banyak orang jual dan bagi saya, ia lain dari yang lain. Alhamdulillah kini sudah 10 tahun saya jual durian goreng di bazar.

“Kami gunakan durian D24 yang telah dibuang biji. Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan sehingga kami terpaksa mengeluarkan durian goreng sejuk beku kerana permintaan tinggi,” katanya yang menjual sebiji durian goreng pada harga RM3 atau RM10 untuk lima biji.

Pelanngan durian goreng, Cik Diana Aswir, 25 tahun.
Pelanngan durian goreng, Cik Diana Aswir, 25 tahun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Pelanggan setianya, Cik Diana Aswir, 25 tahun, berkata beliau sanggup menempuh perjalanan kira-kira 40 kilometer dari rumahnya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, untuk ke bazar itu bagi mendapatkan durian goreng kegemarannya.

“Saya akan ke sini setiap hujung minggu untuk beli durian goreng ini.

“Selepas sekali cuba beberapa tahun lalu, saya terus suka dan sejak itu saya tak lepas peluang beli pada setiap Ramadan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg