Bazar Ramadan masih sesak meski kes TB meningkat lebih 3,000 di M’sia
Bazar Ramadan masih sesak meski kes TB meningkat lebih 3,000 di M’sia
Tinjauan BH: Kesedaran peniaga, pengunjung ambil langkah berjaga dengan pakai pelitup kekal rendah
Di sebalik peningkatan kes jangkitan batuk kering (TB) di Malaysia, bazar Ramadan yang menjadi antara pusat tumpuan ramai ketika ini masih sesak dipenuhi pengunjung untuk membeli juadah berbuka puasa.Â
Walaupun jumlah kes TB di Malaysia kini dilaporkan meningkat kepada lebih 3,100 kes setakat ini, kesedaran orang awam untuk mengambil langkah berjaga-jaga, antaranya dengan memakai pelitup muka, dilihat masih rendah.
Tinjauan Berita Harian (BH) di beberapa bazar Ramadan di Kuala Lumpur dan Selangor mendapati peniaga dan pengunjung seolah-olah tidak bimbang dengan penularan TB dan menganggap keadaan itu belum berada pada tahap membimbangkan.
Seorang pengunjung yang ditemui BH, Cik Diyana Mohsein, 33 tahun, berkata beliau tidak terlalu bimbang kerana menganggap TB bukan penyakit yang mudah berjangkit seperti Covid-19.Â
“Saya datang ke bazar Ramadan sebab ini rutin tahunan.
“Sebagai wanita bujang, saya lebih selesa membeli juadah di bazar berbanding memasak.
“Setakat ini saya rasa selamat, cuma cuba elak terlalu lama di tempat sesak,” katanya yang ditemui di Bazar Ramadan Greenwood, Batu Caves, Selangor.
Seorang lagi pengunjung yang ditemui BH di Bazar Ramadan UTC Sentul, Kuala Lumpur, Encik Mohd Abbas Mohd Ridhwan Seger, berkata beliau mengetahui mengenai penularan penyakit TB, namun berasa masih selamat kerana Kuala Lumpur merekodkan jumlah kes terendah.
“Ada juga rasa bimbang dan saya memang membawa pelitup muka ke mana-mana. Cuma ketika sampai di bazar ini hujan baru berhenti dan saya lihat keadaan kurang sesak, jadi saya tidak memakainya,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kuih, Encik Mamat Minti, 47 tahun, mengakui kurang mengambil langkah pencegahan khusus kerana tidak mendapat maklumat terperinci mengenai tahap risiko semasa.Â
“Kalau ada sebarang arahan rasmi atau kempen kesedaran mungkin orang ramai lebih berhati-hati.
“Tetapi saya akui masyarakat juga perlu peka untuk pastikan keselamatan diri dan mengelak sebarang risiko dijangkiti,” katanya.
Peniaga martabak, Encik Faizal Mohd Yusop, 44 tahun, yang sudah 20 tahun berniaga, berkata beliau memang menitikberatkan pemakaian pelitup muka ketika menjual makanan demi memastikan kebersihan yang diyakini pelanggan.
“Walau tanpa risiko penularan TB seperti sekarang pun, saya memang pastikan disiplin memakai pelitup muka supaya pelanggan lebih yakin dengan kebersihan.
“Dengan kes TB yang meningkat sekarang, saya ambil langkah sama... dan lebih berhati-hati,” katanya.
Sementara itu, walaupun setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mewajibkan penggunaan pelitup muka di tempat awam termasuk di bazar Ramadan, KKM giat memberi kempen kesedaran mengenai bahaya TB kepada masyarakat di wadah media sosial mahupun media elektronik.
Dalam satu temu bual di radio, NasionalFM, Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Sektor Kawalan TB dan Kusta, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Shazelin Alipitchay, berkata TB pendam, iaitu jenis TB yang tidak menunjukkan gejala awal menjadi antara cabaran utama kepada KKM dalam mengekang penyakit itu.
“Berbeza dengan TB aktif yang menunjukkan gejala dalam masa kira-kira dua minggu, seperti batuk berterusan dan demam, TB pendam hanya dapat dikesan dalam masa berbulan, malah ada yang mengambil masa sehingga bertahun,” katanya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sebelum ini dilaporkan berkata sebanyak 85 peratus daripada kes TB direkodkan di Malaysia membabitkan rakyat tempatan, manakala hanya 15 peratus membabitkan warga asing.

