Pengunduran Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, daripada jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), telah mengalihkan tumpuan kepada Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang turut dilihat berpotensi sebagai calon pengganti.
Tindakan Datuk Hamzah yang setakat ini tidak menyertai kepimpinan tertinggi PN meletakkan jawatan, dilihat sebagai satu strategi politik berhati-hati, ketika gabungan itu berdepan krisis dalaman sehingga membawa kepada peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin.
Penganalisis politik Malaysia daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata pendekatan ‘tunggu dan lihat’ Datuk Hamzah membuka ruang kepada perkembangan baru dalam PN, termasuk kemungkinan beliau dicalonkan rakan pakatannya, Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebagai pengerusi baru gabungan itu.
Menurutnya, pelantikan Datuk Hamzah sebagai Pengerusi baru PN tidak mustahil memandangkan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang serta hubungan baik dengan pimpinan PAS.
“Jika PAS mempunyai pilihan, Datuk Hamzah boleh dicalonkan sebagai wakil Bersatu untuk memimpin PN. Hubungan baik beliau dengan PAS menjadikan beliau tokoh sesuai untuk menyatukan gabungan ini,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Setakat ini, Datuk Hamzah belum ada mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai krisis melanda PN mahupun berkait kedudukannya dalam blok politik itu, melainkan kenyataan menafikan surat palsu yang tersebar mengenai peletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang dan jawatan dalam PN.
Mengulas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin, Dr Taufiq berpandangan langkah itu memberi kelebihan strategik kepada Datuk Hamzah untuk mendaki hierarki kepimpinan PN.
“Datuk Hamzah tidak perlu terikut-ikut dengan pendekatan pemimpin Bersatu lain yang meletakkan jawatan secara serentak, sebaliknya memilih untuk mengukuhkan kedudukannya dalam gabungan itu,” katanya lagi.
Bagaimanapun, PAS juga dijangka mencalonkan pengganti jawatan Pengerusi PN daripada parti itu, selepas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan PAS sedang menimbangkan beberapa nama yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PN dalam masa terdekat.
Terdahulu pada 30 Disember, Tan Sri Muhyiddin yang juga mantan Perdana Menteri Malaysia mengumumkan peletakan jawatan Pengerusi PN yang disandangnya lima tahun sejak 2020.
Tan Sri Muhyiddin yang memegang jawatan Perdana Menteri kelapan selama 17 bulan, mengetuai PN memenangi 67 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15, pada November 2022.
Tanpa menghuraikan sebab pengundurannya itu, peletakan jawatan Ahli Parlimen (AP) Pagoh (Johor) itu daripada mengetuai PN dikaitkan dengan desakan terbuka daripada PAS yang mahu mengambil alih tampuk kepimpinan PN, menyusuli krisis politik di Perlis sejak akhir Disember.
Krisis yang membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar Perlis oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang, Encik Mohd Shukri Ramli, pada 25 Disember lalu, selepas lapan Adun menandatangani akuan berkanun (SD) menarik balik sokongan, menjadi punca yang melarat kepada ketegangan dalam PN.
Sehingga kini, krisis itu terus panas apabila PAS memutuskan Adun parti itu tidak akan menyertai pentadbiran kerajaan Perlis yang kini dipimpin Adun Kuala Perlis daripada Bersatu merangkap Timbalan Pengerusi PN Perlis, Encik Abu Bakar Hamzah, bermula 28 Disember lalu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dalam satu kenyataan berkata semua anggota Exco parti sedia ada pula akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda perpaduan dan seiring peletakan jawatan Encik Mohd Shukri.
Namun Datuk Takiyuddin berkata PAS tetap komited untuk mengekalkan kelangsungan kerajaan negeri sedia ada.
Encik Abu Bakar dilaporkan berkata pelantikan barisan Exco baru Perlis boleh diteruskan dengan sekurang-kurangnya empat ahli iaitu satu pertiga daripada bilangan Adun.
Berdasarkan kedudukan semasa, PAS kini menguasai enam daripada keseluruhan 15 kerusi DUN di Perlis selepas tiga kerusi milik PAS sebelum ini diisytiharkan kosong menyusuli kemelut politik yang melanda.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg