Pelaksanaan sistem kutipan tol aliran pantas atau Multi Lane Fast Flow (MLFF) di lebuh raya Malaysia, hanya dapat dilaksanakan selepas pindaan dilakukan terhadap tiga akta berkaitan, yang dijangka dimuktamadkan pada 2026.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ahmad Maslan, berkata sistem kutipan tol tanpa palang yang menggunakan kaedah pengecaman automatik nombor plat kenderaan (ANPR) itu juga tidak membabitkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan, kerana Kabinet telah bersetuju ia dilaksana menggunakan model perniagaan kepada perniagaan (B2B).
Datuk Ahmad Maslan, berkata pindaan akta utama itu adalah satu keperluan, menjadikan ia antara faktor utama kelewatan MLFF itu dilaksanakan di semua lebuh raya Malaysia.
Katanya antara yang perlu dipinda ialah Akta Jalan Persekutuan, Akta Pengangkutan Jalan dan Akta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
“Dengan pelaksanaan MLFF nanti, palang tol tidak lagi wujud dan pengguna boleh melalui lorong tanpa henti, jadi perlu ada peruntukan undang-undang untuk tindakan terhadap risiko pengguna yang tidak membayar tol.
“Satu perkara lagi ialah pihak yang akan melaksanakan penguatkuasaan. Kemungkinan besar LLM akan melaksanakan penguatkuasaan berkaitan kesalahan tidak membayar tol mengikut akta yang dipinda,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (AP), Encik Zahir Hassan (Pakatan Harapan - Wangsa Maju), mengenai perancangan serta garis masa kerajaan untuk memastikan 33 pemegang konsesi lebuh raya di Malaysia beralih sepenuhnya daripada sistem kutipan tol sedia ada kepada MLFF, di Parlimen, pada 17 November.
Dalam pada itu menjawab soalan tambahan AP Dr Halimah Ali (Perikatan Nasional - Klang) mengenai kos yang dijangkakan RM3 bilion untuk pelaksanaan MLFF, Datuk Ahmad Maslan, berkata dengan keputusan untuk melaksanakan projek itu secara B2B, kerajaan tidak menanggung sebarang kos.
Datuk Ahmad Maslan juga memberi jaminan pengguna tidak akan dikenakan sebarang caj tambahan dengan pelaksanaan MLFF dan syarikat konsesi terlibat perlu memilih sistem terbaik untuk mengelakkan bebanan kos lain kepada pengguna.
“Model B2B bermaksud kerajaan tidak menanggung kos. Konsesi akan memilih sistem yang benar-benar kompetitif dan kita pengguna tidak dikenakan caj tambahan seberapa boleh,” katanya.
Pelaksanaan MLFF adalah antara inisiatif kerajaan Malaysia untuk menghapuskan halangan perjalanan, menangani masalah kesesakan di plaza tol dan mengelakkan keperluan menambah lorong di plaza tol yang terhad.
Datuk Ahmad Maslan juga berkata pada masa ini sistem kutipan tol secara pembayaran terbuka (SPT) telah pun dilaksanakan di 26 lebuh raya sistem tol terbuka yang menggunakan kaedah pembayaran melalui penggunaan kad bank dan kad pra bayar.
Beliau berkata kerajaan juga menerima cadangan Plus untuk memperluaskan pembayaran tol SPT menggunakan ANPR dan beberapa parameter penilaian telah ditetapkan oleh LLM bagi ujian sistem rintis awam tol SPT secara ANPR, selaras hala tuju ke arah transformasi digital prasarana negara.
Sistem tol terbuka bermaksud pengguna membuat bayaran sebaik tiba di palang tol, manakala bagi sistem tol tertutup, bayaran hanya dibuat apabila pengguna keluar di destinasi plaza tol terakhir.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg