KUALA LUMPUR: Pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) mahu menjadikan hab pengangkutan lapangan terbang itu hab pengangkutan yang dilengkapi kecerdasan buatan (AI) bijak paling maju di Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif Asia Success Resources Sdn Bhd (ASR), Encik Aaron Chuah, berkata perubahan itu bukan saja akan meningkatkan kecekapan operasi, bahkan memberikan pengalaman terbaik, lancar dan bebas tekanan buat penumpang.
ASR mengambil alih pengurusan KLIA mulai 1 Januari 2024.
Encik Chuah berkata hab itu sudah dinaik taraf daripada Gred B kepada Gred A, sejajar dengan piawaian ketat yang ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“ASR membuat pelaburan kira-kira RM3.5 juta ($990,000) dengan tujuan meningkatkan dengan ketara kemudahan hab pengangkutan di KLIA2.
“Sebagai contoh, untuk meningkatkan kecekapan operasi dan meningkatkan pengalaman penumpang, kami melaksanakan Sistem Tiket Berpusat, Sistem Pintar dan Sistem Operasi Terminal berkuasa AI.
“Sistem canggih ini membolehkan kami kekal berdaya tahan dan berdaya saing dari segi teknologi,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut ASR, penumpang yang melawat laman web hab pengangkutan itu akan disambut dalam berbilang bahasa, dan boleh menjangka lebih banyak bahasa pada masa akan datang, seperti Jepun dan Arab.
Bagi memberikan penumpang pengalaman pembayaran yang mudah dan tanpa rumit pula, hab itu akan melaksanakan sistem tanpa tunai di stesen bas mulai 15 April.
“Sistem ini akan menerima semua bentuk e-dompet dan kad,” ujar syarikat itu.
Pelancaran hab pengangkutan baru yang diubah suai itu bertepatan dengan pelancaran kempen Relax, Reunite & Be Rewarded (Santai, Bersatu Semula & Mendapat Ganjaran).
Kempen itu bertujuan meningkatkan pengalaman membeli-belah untuk pengembara dan memberi ganjaran bagi kesetiaan mereka, sedang hab itu menetapkan piawaian baru dalam kecekapan, keselamatan dan pengalaman penumpang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg