KUANTAN: Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Jalan Besar Kampung Raja, Cameron Highlands pada 6 Januari, menyebabkan laluan terhalang.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Timbalan Superintendan Azri Ramli, berkata tiada kehilangan nyawa atau harta benda dalam kejadian yang dilaporkan pada 2 pagi itu.
“Kejadian itu mengakibatkan laluan di kedua-dua arah terhalang, namun kerja-kerja pembersihan giat dijalankan,” katanya, lapor Harian Metro.
Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Cameron Highlands memaklumkan bahawa Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah berada di lokasi kejadian bagi memantau dan menghantar bantuan anggota.
Laluan alternatif adalah melalui Jalan Sungai Koyan, Lipis dan Jalan Tapah untuk ke Cameron Highlands.
Susulan kejadian tanah runtuh itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Cameron Highlands, Leftenan (PA) Md Hazli Hanifah Mohd Hanafi, berkata pihaknya telah membantu membawa 11 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Sekolah Menengah Kampung Raja, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata kesemua calon SPM itu dibawa menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke sekolah berkenaan pada 7.30 pagi 6 Januari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg