SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mewartakan pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) oleh Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selepas mereka didakwa melanggar ikrar taat setia kepada beliau.

Menurut warta bertarikh 24 September, jawatan Exco Kerajaan Negeri itu dibatalkan berkuat kuasa 20 September.

“Bahawasanya menurut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selain daripada Menteri Besar memegang jawatannya selama diperkenan oleh Beta...

“Bahawasanya memandangkan kalian (Exco) telah melanggar ikrar taat setia tersebut maka, Beta dengan ini menarik balik perkenan Beta dan membatalkan pelantikan kalian sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

“Pembatalan pelantikan ini berkuat kuasa serta-merta pada 20 September 2026.

“Dengan Titah Perintah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” menurut warta itu.

Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terbabit termasuk tujuh daripada Umno, iaitu Datuk Mustapha Nagoor (Palong), Encik Faizal Ramli (Linggi), Datuk Zaiful Bahri Idris (Chembong), Encik Razi Ali (Sungai Lui), Cik Asna Amin (Lenggeng), Cik Siti Nur Umaira Hasim (Labu) dan Encik Suhaimizan Bizar (Gemencheh).

Tiga lagi ialah Encik Siow Kong Choon (Chennah) daripada Persatuan Cina Malaysia (MCA), Encik Fairuz Isa (Serting) daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Encik Razali Abu Samah (Sikamat) daripada Wawasan.

Selain bekas anggota Exco berkenaan, Umno masih mempunyai sembilan Adun, manakala MCA mempunyai seorang, PAS tiga dan Wawasan dua.

Terdahulu hari ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menegaskan barisan Exco negeri masih kekal, sambil membantah tindakan anggota berkenaan yang didakwa dihalang memasuki pejabat mereka di Wisma Negeri dan daripada menjalankan tugas.

Datuk Ismail juga secara terbuka tidak bersetuju dengan permintaan Tuanku Muhriz pada 20 September supaya beliau mempersembahkan barisan Exco baharu kepada pemerintah negeri.

Adun Juasseh itu berhujah, tindakan baginda tidak sah di sisi undang-undang kerana bertentangan dengan kehendak Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. Beliau tidak menasihati supaya anggota Exco berkenaan disingkirkan memandangkan beliau tidak pernah dirundingi sebelum keputusan diraja itu dibuat.

Datuk Ismail turut mengesahkan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 22 September bersetuju menggantung Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal.

Namun, langkah itu ditolak Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Jabatan Peguam Negara, dengan kedua-dua pihak mengarahkan pegawai masing-masing meneruskan tugas seperti biasa. – Agensi berita.