Tindakan menteri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, meninggalkan Umno untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 30 Mei telah mencetuskan polemik baru dalam politik Malaysia, membawa kepada ketegangan dalam Kerajaan Perpaduan membabitkan dua parti gabungan kerajaan itu.
Pimpinan dalam PKR – parti yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim – dan Umno, yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mula bertelagah dengan pelbagai desakan dibuat termasuk menuntut peletakan jawatan oleh Tengku Zafrul yang menyertai Kabinet menerusi lantikan Senator.
Ini kerana jawatan menteri dipegang mantan Bendahari Umno Selangor itu adalah kuota Umno, yang bekerjasama membentuk Kerajaan Persekutuan dengan PKR, menyusuli kemelut kerajaan tergantung selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada November 2022.
Bagaimanapun, peletakan jawatan Tengku Zafrul sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mungkin tidak akan berlaku berikutan pelantikan jawatan senator dipegangnya bermula Mac 2020 ketika pentadbiran kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, hanya berbaki beberapa bulan lagi sebelum tamat pada Disember.
Malah, Datuk Anwar sudah memberi kenyataan menegaskan kedudukan Tengku Zafrul sebagai menteri tidak terjejas biarpun selepas keluar Umno dan menyertai PKR.
“Soal kedudukan menteri tidak terjejas. Kita mahukan beliau teruskan tugas kerana prestasinya sebagai menteri pelaburan baik dan negara memerlukan sumbangan beliau,” kata Datuk Anwar.
Pendirian Datuk Anwar itu dilihat bercanggah dengan tuntutan Datuk Ahmad Zahid yang mahu jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri diberikan kepada Umno bagi mencukupkan kuota tujuh menteri yang diperuntukkan sebelum ini.
Sebagai senator, Tengku Zafrul tidak tertakluk kepada Akta Anti Lompat Parti, sekali gus tidak membolehkan Umno mengambil tindakan terhadapnya yang meninggalkan parti untuk menyertai satu parti lain.
Akta Anti Lompat Parti hanya terpakai kepada wakil rakyat yang memenangi kerusi menerusi PRU.
Tengku Zafrul menyerahkan surat peletakan jawatan dalam Umno kepada pucuk pimpinan parti pada 30 Mei lalu, dan turut mengesahkan sudah memaklumkan hasrat untuk menyertai PKR kepada Datuk Anwar.
Keputusan Tengku Zafrul keluar Umno itu menyambung episod gawat politik Malaysia selepas peletakan jawatan dua menteri daripada PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, yang kalah dalam pemilihan PKR, akhir Mei.
Umno menyifatkan tindakan Tengku Zafrul itu sebagai ‘tidak mengenang budi’, namun sebaliknya disambut baik kepimpinan PKR yang menyifatkan pemimpin yang berpengalaman luas dalam dunia perbankan dan korporat itu mampu menyumbang untuk parti.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, berkata tindakan Tengku Zafrul tidak melepaskan jawatan menteri kuota Umno itu serentak dengan pengundurannya daripada parti Melayu itu, akan menambahkan retak Umno-PKR.
“Dalam hal ini kita lihat beliau mendapat ‘lampu hijau’ daripada Datuk Anwar. Sebenarnya Umno langsung tidak terkesan kerana Tengku Zafrul tidak menyumbang kepada parti, tetapi jika beliau masih memegang jawatan menteri yang menjadi kuota Umno, itu akan membangkitkan kemarahan Umno.
“Datuk Anwar sedang menggunakan kuasanya dalam tiga kes membabitkan menteri (Datuk Rafizi, Nik Nazmi dan Tengku Zafrul), dan jika Tengku Zafrul kekal dalam Kabinet, ini akan mengeruhkan hubungan Umno-PKR.
“Dan tidak mustahil ia membawa kepada desakan untuk memaksa Datuk Ahmad Zahid memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg