SPH Logo mobile
Langgan|

Laporan: 73% di M’sia masih jadi mangsa walau akui mampu kenal pasti penipuan dalam talian

Laporan: 73% di M’sia masih jadi mangsa walau akui mampu kenal pasti penipuan dalam talian

Pengarah badan antipenipuan: Strategi cegah sedia ada jelas tidak seiring dengan ancaman penipuan yang makin berkembang
Sep 4, 2025 | 3:33 PM

Laporan: 73% di M’sia masih jadi mangsa walau akui mampu kenal pasti penipuan dalam talian

M’sia, mangsa penipuan dalam talian
Sejumlah 21 peratus ibu bapa Malaysia melaporkan anak mereka berusia antara tujuh hingga 17 tahun juga telah menjadi mangsa penipuan dalam talian.  - Foto hiasan FACEBOOK MALAYSIA ANTI SCAM ASIA SUMMIT

Walaupun 74 peratus warga dewasa Malaysia percaya mereka mampu mengenal pasti cubaan penipuan, jumlah mereka yang terjerat dengan penipuan dalam talian tetap tinggi iaitu 73 peratus, dengan kerugian purata RM4,844.70 ($1,475) seorang.

Laporan State of Scams in Malaysia 2025 oleh Gogolook bersama Global Anti-Scam Alliance (Gasa) itu diperoleh hasil tinjauan dalam talian melibatkan 1,000 responden dewasa Malaysia yang dijalankan antara 26 Februari hingga 14 Mac 2025.

Menurut Pengarah Urusan Gasa, Encik Jorij Abraham, meskipun responden Malaysia mengamalkan sikap berhati-hati secara meluas, kes mangsa penipuan masih berada pada tahap epidemik. 

“Percanggahan ini menunjukkan strategi pencegahan sedia ada jelas tidak seiring dengan ancaman penipuan yang semakin berkembang,” katanya dalam laporan itu.

Hasil tinjauan itu juga mendapati 82 peratus mangsa penipuan dalam talian adalah individu berpendidikan tinggi, manakala 78 peratus terdiri daripada golongan milenial.

Namun jelas Encik Jorij, satu realiti yang lebih membimbangkan muncul dalam isi rumah di Malaysia apabila 21 peratus ibu bapa melaporkan anak mereka berusia antara tujuh hingga 17 tahun juga telah menjadi mangsa penipuan. 

“Ini menandakan sempadan baru dalam jenayah penipuan di mana penjenayah kini menyasarkan pengguna digital muda dalam negara,” katanya dalam laporan itu.

Laporan berkenaan turut mendedahkan penipuan pelaburan kekal sebagai kes paling tinggi direkodkan, diikuti penipuan beli-belah dalam talian dan penipuan berkaitan pekerjaan. 

“Panggilan telefon serta aplikasi mesej seperti WhatsApp, Telegram dan Facebook masih menjadi saluran utama penipuan,” katanya.

Menurut Encik Jorij lagi, hampir dua pertiga atau 62 peratus mangsa penipuan di Malaysia mengalami tekanan, manakala 47 peratus pula melaporkan kesan berpanjangan terhadap kesihatan mental mereka.

“Kerosakan ini merebak dalam keluarga, 15 peratus berdepan ketegangan rumah tangga yang meningkat, manakala 14 peratus terpaksa meminjam wang atau mengambil pinjaman untuk menampung kerugian akibat penipuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Gogolook – syarikat yang membangunkan aplikasi Whoscall, Encik Manwoo Joo, memuji kerajaan Malaysia dan agensi penguatkuasaan kerana mengambil langkah tegas dalam membanteras penipuan dalam talian, termasuk dengan penubuhan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) pada 2022.

“Ia merupakan langkah besar ke hadapan, dengan rancangan yang telah disahkan untuk memperluas peranan pusat tersebut meliputi semua bentuk jenayah siber, sekali gus membolehkan penyelarasan lebih pantas antara agensi dan campur tangan lebih segera,” katanya.

Katanya, walaupun kajian turut mendapati responden meletakkan tanggungjawab terbesar kepada institusi awam, khususnya kerajaan, dalam usaha melindungi rakyat daripada penipuan, organisasi perlindungan pengguna dianggap paling berkesan dalam menangani isu ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran awam, menjalankan serbuan ke atas sindiket penipuan, serta bekerjasama rapat dengan platform digital seperti kami untuk menghentikan penipuan dari punca.

“Malah, Whoscall berbesar hati kerana mendapat pengiktirafan rasmi daripada PDRM, yang mencerminkan komitmen bersama kami dalam pencegahan penipuan dan perlindungan pengguna,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg