KUALA LUMPUR: Sehingga 1,711 produk eksport Malaysia ke Amerika Syarikat akan menikmati kadar tarif lebih rendah daripada 19 peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang ditandatangani antara Malaysia dengan Amerika pada 26 Oktober.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata senarai itu termasuk minyak sawit, getah, koko serta beberapa komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa.
“Eksport ini secara keseluruhannya berjumlah kira-kira AS$5.2 bilion (RM21.93 bilion/$6.75 bilion) jumlah eksport kita ke Amerika, iaitu sebanyak 12 peratus daripada jumlah eksport kita,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur pada 26 Oktober, lapor Malaysiakini.
Tengku Zafrul berkata kadar tarif lebih rendah itu akan berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari selepas kedua-dua negara bertukar dokumen sebagai sebahagian proses perundangan.
Menurut Kuala Lumpur dan Washington dalam pernyataan bersama pada 26 Oktober, Amerika telah mengenal pasti produk daripada senarai dalam Lampiran III Perintah Eksekutif 14346 bertarikh 5 September 2025, mengenai Potential Tariff Adjustments for Aligned Partners untuk mendapat kadar tarif timbal balas sifar peratus.
Katanya, Amerika komited untuk mengekalkan tarif timbal balas sebanyak 19 peratus kali pertama digariskan dalam Perintah Eksekutif 14257 bertarikh 2 April 2025, yang telah dipinda, ke atas barangan dari Malaysia.
Ditanya sama ada Malaysia kecewa mengenai perkara itu, Tengku Zafrul berkata:
“Tidak, kami tidak kecewa. Malah, kami berpuas hati kerana apa yang ditawarkan sebelum ini kekal untuk Malaysia. Apa yang kami gembira ialah kami tidak perlu ubah mana-mana perkara yang telah dipersetujui sebelum ini.
“Kami juga gembira kerana untuk garis tarif, kita berjaya mendapat lebih daripada apa yang telah dibincangkan sebelum ini.”
Menurut Tengku Zafrul, perjanjian yang dimeterai pada 26 Oktober mengandungi perkara yang sama seperti yang telah dikongsikan sebelum ini oleh kementerian dan pemeteraian ini menandakan tamatnya rundingan yang dijalankan sebelum ini, menjadikan perjanjian tersebut sebagai rasmi.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, perjanjian ini telah dipersetujui sebelum ini dan ini merupakan perjanjian rasmi yang telah dimuktamadkan secara bertulis.
“Malah, Amerika telah memberikan akses lebih baik berbanding sebelum ini serta beberapa komitmen untuk akses ke pasaran mereka. Oleh itu, apa yang diberikan kepada kita adalah lebih baik daripada apa yang telah dipersetujui secara lisan atau diumumkan sebelum ini,” jelasnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg