KUALA LUMPUR: Sebanyak 470 laluan haram dikenal pasti di sepanjang sempadan Malaysia, kata Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata rekod itu berdasarkan data Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Pasukan Gerakan Am (AM) sehingga September 2025.
Justeru, katanya pelbagai tindakan diambil bagi membanteras isu laluan haram termasuk pelaksanaan kawalan keselamatan sempadan secara tetap dan berkala oleh PGA dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ia melalui penugasan kawalan statik di pos-pos tetap sepanjang garis sempadan, kawalan keselamatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), rondaan keselamatan (berjalan kaki atau berkenderaan), sekatan jalan raya dan pengumpulan maklumat risikan.
“Antara langkah strategik dan bentuk kawalan keselamatan yang dilaksanakan dalam memantau laluan-laluan haram di sempadan adalah dengan pemantauan dan kawalan berterusan di kawasan hotspot (panas) yang kerap digunakan sebagai laluan aktiviti rentas sempadan.
“Selain itu, mengadakan operasi bersepadu bersama agensi lain melalui operasi intra atau inter agensi di kawasan sempadan; serta rondaan bermotosikal bagi laluan darat dan rondaan bot bagi kawasan sungai secara berkala di sepanjang sempadan.
“Seterusnya, penggunaan teknologi seperti dron untuk tujuan pemantauan bagi kawasan sempadan yang sukar di capai atas faktor geografi bentuk muka bumi; serta perkongsian maklumat risikan di antara PGA, PDRM bersama agensi penguatkuasaan negara jiran untuk membanteras aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Saifuddin Nasution menjawab soalan Anggota Parlimen Datuk Khlir Mohd Nor (Perikatan Nasional-Ketereh) yang meminta beliau menyatakan langkah strategik dan bentuk kawalan keselamatan yang sudah dan sedang dilaksanakan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Beliau juga bertanyakan langkah strategik dan bentuk kawalan keselamatan agensi penguat kuasa berkaitan bagi mengawal, menutup atau memantau laluan haram dan lorong-lorong tikus di sepanjang sempadan negara.
Sementara itu, di Rantau Panjang, Kelantan, operasi meroboh jeti pangkalan haram di sempadan Kelantan-Thailand bagi mengekang kegiatan penyeludupan bermula pada pagi 28 Oktober.
Operasi membabitkan dua jeti pangkalan haram iaitu pangkalan MCA dan Parking yang terletak di pekan Rantau Panjang.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata kerja meroboh 153 jeti pangkalan haram di tanah kerajaan di sempadan Kelantan-Thailand membabitkan empat daerah akan dibuat berperingkat.
Beliau dilaporkan berkata kerja meroboh jeti itu akan dimulakan di Pasir Mas, disusuli daerah lain dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg