Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 40,000 penjawat awam di M’sia berisiko hadapi tekanan mental

Oct 2, 2024 | 12:54 PM
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Kesejahteraan Psikologi 2024 (ICOPW), di Kuching, Sarawak. 
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Kesejahteraan Psikologi 2024 (ICOPW), di Kuching, Sarawak.  - Foto FACEBOOK JABATAN PERKHIDMATAN AWAM

KUCHING (Sarawak): Lebih 40,000 penjawat awam di Malaysia berisiko tinggi mengalami isu kesihatan psikologi yang memerlukan campur tangan segera bagi mengelak daripada menghidapi masalah mental.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata isu kesihatan psikologi dalam kalangan penjawat awam antara lain berpunca daripada kegagalan menangani tekanan di tempat kerja.

Beliau berkata angka itu diperoleh menerusi dapatan Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MyPsyD) yang dilaksanakan mulai 1 Mac hingga September 2024.

Menurut beliau, sepanjang pelaksanaan secara berperingkat membabitkan semua kementerian dan agensi seluruh negara, hampir sejuta kakitangan awam melengkapkan profil MyPsyD itu.

“MyPsyD antara inisiatif terkini kerajaan untuk meningkatkan program pencegahan tingkah laku berisiko mengalami masalah kesihatan psikologi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Mengenai Kesejahteraan Psikologi (ICOPW) 2024, di Kuching, Sarawak, lapor Harian Metro.

Lebih 200 pakar psikologi Asia-Tenggara antaranya Indonesia, Brunei, Myanmar termasuk Malaysia menghadiri persidangan dua hari anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Unimas.

Tan Sri Wan Ahmad Dahlan berkata profil MyPsyD penting bagi setiap penjawat awam kerana ia bertindak sebagai penunjuk individu dan organisasi supaya lebih peka dalam merangka strategi melalui pembangunan kendiri pencegahan dan campur tangan yang bersasar bagi menyantuni dan melestarikan kesejahteraan pegawai awam.

“Kakitangan awam yang dikenal pasti berisiko tinggi mengalami isu kesihatan psikologi memerlukan campur tangan segera bagi mengelakkan mereka daripada menghidapi kecelaruan mental.

“Sehubungan itu, berdasarkan keperluan semasa dalam bidang campur tangan, pencegahan, pemulihan dan penyelidikan, maka persidangan diadakan dan diharap ia berupaya membantu pembentukan landskap kesihatan mental yang lebih baik.

“Isu kesihatan psikologi memerlukan campur tangan segera bagi mengelak daripada menghidapi kecelaruan mental.

“Keseronokan di tempat kerja akan membantu pekerja melakukan tugas mereka dengan cekap dan seterusnya meningkatkan prestasi organisasi,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg