PUTRAJAYA: Lebih banyak sistem pagar automatik (autogate) akan dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bagi mengatasi kesesakan di pintu masuk Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen akan menambah 40 autogate baru di KLIA Terminal 1 dan 2, menjadikan jumlahnya 80 unit.
Penambahan di Pulau Pinang sedang ditentukan.
Beliau berkata penambahan kemudahan itu selaras dengan peluasan penggunaan autogate dan sebagai persediaan Malaysia sebagai pengerusi Asean 2025 serta kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Sekarang, ketibaan pesawat antarabangsa dapat liputan media apabila kesesakan berlaku. Jadi kami telah berunding dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk penambahan autogate dan kami perlu lebih ruang.
“Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi, akan uruskan perolehan… kami juga kejar masa kerana pada 2025, kita akan ambil alih pengerusi Asean, yang perlu kami uruskan tidak berlaku kesesakan di pintu masuk,” katanya selepas Majlis Perbarisan Hari Imigresen 2024 di Putrajaya, lapor Berita Harian Malaysia.
Sebelum ini, Datuk Saifuddin mengumumkan mulai 1 Jun pengunjung dari 36 lagi negara berisiko rendah dibenar menggunakan autogate di semua pintu masuk negara yang memiliki kemudahan itu.
Kemudahan itu antaranya membabitkan semua negara Kesatuan Eropah (EU), Bahrain, Qatar, Oman, Jordan, China, Canada, Hong Kong serta Taiwan.
Sementara itu, beliau berkata penggunaan sistem kaedah Kod Respons Pantas (QR) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor mendapat sambutan sangat baik daripada pengguna.
Bagi tempoh 1 Jun hingga 18 Julai, 197,901 penumpang bas di BSI dan 311,130 penumpang bas dan motosikal di KSAB menggunakan sistem QR itu.
“Inisiatif berkenaan dapat mengurangkan tempoh menunggu antara 70 dengan 80 peratus berbanding sebelum ini.
“Jumlah ini dijangka terus meningkat dan seterusnya dapat membantu mengurangkan kesesakan di pintu masuk Malaysia-Singapura,” ujarnya.
Datuk Saifuddin berkata penggunaan sistem itu akan diperluas kepada semua pengembara, termasuk bukan warga dan pemegang pas jangka panjang serta mod perjalanan menggunakan kereta, pada fasa seterusnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg