Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebuh raya, gerai lemang di M’sia sesak jelang Aidiladha

Lebih 2j kenderaan sehari dijangka berada di rangkaian lebuh raya sempena cuti perayaan
Jun 6, 2025 | 3:15 PM
Malaysia, Aidiladha, tol, lebuh raya
Trafik di Plaza Tol Gombak, Selangor, bagi laluan ke Pantai Timur Malaysia sesak dengan kenderaan yang mahu pulang ke kampung sempena Aidiladha. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Aidiladha di Malaysia disambut meriah dengan lebuh raya mula sesak dipenuhi jutaan kenderaan perantau untuk pulang ke kampung sejak 5 Mei.

Manakala gerai lemang, ketupat dan pasar basah turut menjadi tumpuan orang ramai buat pelbagai persiapan.

Tinjauan Berita Harian (BH) di Plaza Tol Gombak, Selangor, pada 6 Jun mendapati aliran trafik menghala ke pantai timur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (Pahang) terus sesak dengan kenderaan yang bertali arus.

Perkembangan terkini langsung daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut menunjukkan aliran trafik dipenuhi kenderaan di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) menghala ke selatan dan utara Malaysia pada 6 Jun.

Pengurusan Plus sebelum ini menjangkakan lebih dua juta kenderaan sehari akan berada di rangkaian lebuh raya Malaysia pada hari-hari sibuk sempena cuti perayaan Aidiladha, iaitu antara 5 dengan 6 Jun serta 8 dengan 9 Jun ini.

Dalam kenyataannya, Plus berkata bagi mengagihkan trafik dan mengelakkan penumpuan kenderaan di lokasi tertentu secara serentak, syarikat itu menyediakan jadual perjalanan digital MyPlus-TTA menerusi aplikasi Plus, bagi membantu pengguna merancang perjalanan lebih awal dan mengelak kesesakan.

Sementara itu, orang ramai giat membuat persiapan akhir dengan mendapatkan barangan keperluan serta bahan mentah di pasar basah dan pasar raya seluruh Malaysia, selain kedai menjual lemang dan ketupat pula diserbu pelanggan.

Di Batu Caves, Gombak, Selangor, gerai menjual Lemang Daun Lerek diusahakan Encik Ariffin Zakaria, 66 tahun, mula dipenuhi pelanggan yang beratur sejak pagi 6 Jun untuk mendapatkan lemang buat hidangan di Aidiladha.

Encik Ariffin berkata sama seperti ketika sambutan Aidilfitri, permintaan lemang pada Aidiladha turut tinggi dengan lebih 4,000 batang lemang dijual sehari.

Katanya, sejak Mei beliau sudah mula menerima tempahan dan bagi Aidiladha kali ini sebanyak 20 guni beras pulut digunakan untuk membuat lemang, yang mana setiap guni beras pulut mampu menghasilkan kira-kira 200 batang lemang.

“Pada waktu sibuk iaitu sejak dua hari sebelum Aidiladha kita mampu jual sehingga 4,000 batang lemang sehari.

“Ada yang beli untuk dibawa pulang ke kampung, manakala pelanggan yang beraya di Lembah Klang lazimnya membeli pada saat akhir sehingga lewat malam raya,” katanya ketika ditemui BH.

Encik Ariffin yang turut menjual rendang juga menghabiskan 400 kilogram (kg) ayam dan 400kg daging sehari hari untuk masakan itu.

“Memang tak menang tangan dan penat, tetapi saya tak kisah kerana ketika rayalah tempahan tinggi dan meriah,” katanya yang menjual lemang sepanjang tahun.

Pelanggan, Encik Zahid Abdul Manaf, 34 tahun, berkata beliau singgah membeli lemang kegemaran di kedai itu sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kelantan untuk menyambut Aidiladha bersama keluarga.

“Lemang di sini sedap dan keluarga suka. Walaupun terpaksa beratur, sanggup juga tunggu kerana tak mahu hampakan ibu bapa di kampung yang gemarkan lemang ini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg