Topic followed successfully
Go to BHkuLelaki 9 kali kahwin didakwa pukul isteri hingga gugur di Kedah
Lelaki 9 kali kahwin didakwa pukul isteri hingga gugur di Kedah
Lelaki 9 kali kahwin didakwa pukul isteri hingga gugur di Kedah
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki, bekas suami kepada sembilan wanita, didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah, pada 7 Mei.
Dia sebelum ini pernah dipenjara kerana memukul bekas isterinya sehingga koma.
Tertuduh, Rosmaini Abdul Raof, 43 tahun, didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas isterinya, Cik Nurfitri Moktar, 39 tahun, dengan pelbagai objek.
Perbuatan pada Mac dan April lalu ini turut mengakibatkan keguguran kandungan isterinya yang berusia 12 minggu.
Bagaimanapun, Rosmaini mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat, lapor Harian Metro.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan Cik Nurfitri cedera parah dengan menggunakan kerusi plastik dan getah paip di sebuah rumah di Bandar Amanjaya, Sungai Petani, Kedah, kira-kira 5 petang pada 29 Mac.
Dia turut didakwa melakukan kesalahan sama ke atas mangsa menggunakan penyangkut baju dan penyangkut besi di tempat sama, kira-kira 9 pagi pada 23 April.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh yang mempunyai 11 anak untuk diikat jamin kerana masih dipenjara dan menetapkan 16 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan, Cik Nurfitri yang bekerja sebagai penjawat awam cedera parah di beberapa bahagian badan, dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan mangsa turut mengalami keguguran akibat perbuatan suaminya itu.
Suspek ditahan polis di sekitar Alor Setar, Kedah, selepas melarikan diri selepas kejadian itu.
Polis sebelum ini turut mengesahkan suspek ialah lelaki yang sama disabitkan kesalahan memukul isteri (kini bekas), Cik Jahidah Nordin, 48 tahun di Johor Bahru pada 2021, sehingga wanita itu koma.
Untuk kesalahan itu, Rosmaini dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 4 Mei lalu, atas tuduhan menyebabkan Cik Jahidah cedera parah.
Pada 29 April lalu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata hasil siasatan mendapati Rosmaini telah sembilan kali berkahwin dan kesemua isteri serta bekas isterinya bekerja sebagai penjawat awam.
Polis percaya Rosmaini menggunakan modus operandi dengan menyasarkan penjawat awam untuk dijadikan isteri bagi menyara hidupnya.
