JOHOR BAHRU: Pergaduhan mulut menyebabkan seorang lelaki cedera ditetak dengan pisau pemotong daging oleh lelaki yang tidak dikenali dekat Merlin Tower, Jalan Meldrum, Johor Bahru, pada petang 11 Februari.
Berikutan kejadian itu, seorang tukang besi ditahan polis dan dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bermula 12 Februari untuk siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 45 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Encik Mohammad Izham Mohd Aliyas, selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat kes daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Raub Selamat, berkata ketika kejadian, mangsa berusia 43 tahun dan suspek berada dalam keadaan mabuk.
Beliau berkata kededua mereka saling tidak mengenali dan sedang melepak minum minuman keras di tempat kejadian sebelum berlaku pergaduhan mulut dan membawa kepada kejadian tersebut.
“Siasatan lanjut mendapati punca kejadian disyaki akibat pergaduhan mulut di antara kedua-dua pihak yang pada ketika itu berada dalam keadaan mabuk.
“Kejadian pergaduhan bersenjata membabitkan dua lelaki itu dilaporkan orang awam pada 2.30 petang.
“Akibat kejadian itu, mangsa yang tidak bekerja mengalami cedera parah di bahagian kepala dipercayai ditetak dengan senjata tajam dan mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sebelum ditahan wad untuk rawatan lanjut.
“Suspek pula seorang lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai tukang besi pula ditahan di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan media, lapor Harian Metro.
Encik Raub berkata pihaknya turut merampas pisau pemotong daging yang disyaki digunakan suspek dalam kejadian itu dan suspek didapati positif dadah jenis methaphetamine.
Menurutnya, siasatan turut mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah, manakala mangsa juga mempunyai empat rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg