JOHOR BAHRU: Seorang lelaki Singapura dan seorang lelaki Palestin antara 85 pendatang asing ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Johor dalam tiga serbuan berasingan di Johor Bahru dan Muar pada 8 dan 9 November.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata serbuan pertama menyasarkan lapan premis perniagaan tanpa lesen di Taman Abad, Johor Bahru, kira-kira 8.10 malam pada 8 November.
Beliau berkata dalam serbuan itu, 23 pendatang asing – tujuh lelaki Pakistan, tiga lelaki dan tiga wanita Indonesia, tiga lelaki India, empat lelaki Bangladesh, seorang lelaki Myanmar serta warga Singapura dan Palestin ditangkap.
Semua mereka bekerja di kedai menjual makanan dan disyaki bekerja tanpa pas atau permit serta tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Mereka berusia antara 20 hingga 53 tahun, kata Datuk Mohd Rusdi, lapor Astro Awani.
Beliau berkata 16 pendatang asing, terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita Bangladesh, 10 lelaki dan seorang wanita Myanmar serta seorang wanita Indonesia berusia 23 hingga 50 tahun pula ditahan hasil serbuan di 10 premis antaranya kedai runcit di Muar, pada hari sama.
“Siasatan awal mendapati mereka memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan menyalahgunakan pas itu untuk bekerja di tempat lain,” katanya.
Datuk Mohd Rusdi berkata serbuan ketiga di dua pub dan bistro di Taman Mount Austin, Johor Bahru, pada 9 November melibatkan penahanan 43 pendatang asing terdiri daripada dua lelaki dan 36 wanita Thailand, tiga lelaki Myanmar, seorang lelaki Vietnam serta seorang lelaki Laos berusia antara 21 hingga 47 tahun.
“Operasi kira-kira 1.30 pagi dijalankan selepas premis itu dipercayai menggaji pekerja tanpa pas atau permit yang sah selain menjalankan aktiviti tidak bermoral.
“Hasil siasatan awal mendapati premis tersebut menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) sebagai peneman minum dengan bayaran serendah RM50 ($15) dan menawarkan pakej bawa pulang GRO serendah RM800 semalam,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg