BUTTERWORTH (Pulau Pinang): Majlis Amanah Rakyat (Mara) sekali lagi meminta pelakon Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta agar tampil berbincang dengan agensi itu berhubung bayaran balik pinjaman hampir RM1 juta ($303,531) yang dibuat syarikat milik selebriti itu.
Gesaan itu dibuat oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menjelaskan prosedur memfailkan kemuflisan diteruskan berikutan kegagalan pelakon berkenaan melunaskan hutang dalam tempoh tujuh tahun, sejak 2017.
“Ini bukan tindakan mahkamah kali pertama (dikenakan terhadap Che Ta), (masuk) ini sudah kali kedua dan sekarang ini yang paling penting, datanglah kepada Mara dan bincang.
“Sekarang, paling penting juga, (pelakon itu perlu) bayar balik pinjaman yang dibuat sebab (hutang ini) sudah berlarutan sejak 2017,” katanya, lapor Harian Metro.
Sebelum ini pada 10 Disember, Mara, menerusi perintah mahkamah, menyita pelbagai barangan bernilai RM100,000 di kediaman Che Ta, 51 tahun, di Kota Damansara, Selangor.
Tindakan itu diambil selepas usahawan berkenaan dan anak sulungnya, Encik Ammar Effendy, 28 tahun, sebagai penjamin, gagal melunaskan hutang dana awam hampir RM1 juta sejak 2017.
Datuk Asyraf Wajdi berkata tindakan kemuflisan kali ini hanya akan dihentikan jika Rozita membayar sepenuhnya pinjaman itu susulan Mara tidak lagi memberi lanjutan tempoh pembayaran hutang selepas mahkamah membuat keputusan muktamad mengenainya.
Sehingga 16 Disember, pelakon itu masih belum tampil bertemu Mara untuk berbincang mengenai penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman dibuat syarikat milik selebriti itu, RCW Worldwide Sdn Bhd.
Malah, Che Ta masih berdiam diri dan enggan mengulas soal hutang berkenaan, sebaliknya terus ligat berniaga di media sosial umpama tiada apa-apa yang berlaku.
Sementara itu suami Che Ta yang juga pelakon, Zain Saidin, 40 tahun, menyangkal dakwaan mengatakan beliau tidak berbuat apa-apa tatkala isterinya dihambat kontroversi hutang Mara itu.
Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin sebaliknya memaklumkan beliau sibuk mencari wang termasuk ke Kota Kinabalu, Sabah, menjual produk minyak wanginya.
“Bukan duduk sahaja, meniaga minyak wangi dalam TikTok ini juga usaha saya. Pihak kita pun ada usaha, bukan relaks (santai) dan anggap tiada hal dengan semua yang berlaku. Cuma apa yang kami usahakan itu tidak diceritakan,” katanya.
Zain turut mengulas dakwaan isterinya memperagakan kemewahan walhal dibelenggu hutang dengan menyatakan ia adalah rezeki dan mereka tidak mempunyai niat untuk menunjuk-nunjuk atau bersifat riak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg