Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Lembu sado’ jadi pilihan bagi ibadah korban walau harga tinggi

Jun 12, 2024 | 2:04 PM
Encik Noraimi Hasan bersama seekor lembu sado miliknya yang bakal dikorbankan pada Aidiladha.
Encik Noraimi Hasan bersama seekor lembu sado miliknya yang bakal dikorbankan pada Aidiladha. - Foto BERNAMA

BACHOK (Kelantan): Walaupun harganya mencecah lima angka seekor, lembu sado tetap menjadi pilihan sebahagian orang di Malaysia bagi ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada 17 Jun.

Seorang penternak lembu sado di Pantai Senok, Bachok, Kelantan, Encik Noraimi Hasan, menjelaskan lembu sado masih menjadi pilihan kerana saiznya besar serta rasa dagingnya lebih enak.

“Saiz menjadi faktor utama lembu sado menjadi pilihan sebahagian umat Islam yang mahu melakukan ibadah korban. Daging lembu sado juga dikatakan lebih enak, lembut dan berperisa apabila dimasak, berbanding lembu tempatan saiz biasa,” katanya, yang juga dikenali sebagai Paksu Mie, lapor The Star.

Menurut Paksu Mie, 53 tahun, dua daripada sembilan lembu gergasi di ladangnya, setiap satu seberat lebih 700 kilogram dan berharga hampir RM11,000 ($3,154), sudah dijual kepada pembeli di Kota Bharu, Kelantan, untuk dikorbankan pada Aidiladha.

“Biasanya, pembeli datang mencari lembu sado untuk dikorbankan pada Aidiladha memandangkan saiznya lebih besar, lebih banyak dagingnya, selain ia sememangnya lebih sedap.

“Biasanya lembu sado dijual kira-kira RM1,300 hingga RM1,500 setiap bahagian, bergantung pada saiznya. Memandangkan lembu sado bersaiz besar, kita memerlukan tenaga sekurang-kurangnya lapan lelaki untuk menumbangkan lembu sado untuk disembelih,” kongsinya.

Menurut Paksu Mie, beliau mula menternak lembu sado enam tahun lalu daripada baka charolais dan limousine kerana harganya lebih tinggi berbanding lembu tempatan.

Beliau bermula dengan modal RM4,000 untuk membeli seekor lembu sado baka charolais bagi dijadikan induk, sebelum ia membiak dan mampu memberi pulangan lumayan.

“Bagi memastikan ternakan ini sentiasa ada, saya akan lakukan permainan beradas (memasukkan benih untuk proses pembiakan). Prosedur ini dilakukan menggunakan benih yang diimport dari Perancis dan Ireland, dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),” katanya.

Paksu Mie berkata beliau memperuntukkan RM10 sehari bagi dedak dan rumput untuk diberi kepada setiap lembu ternakannya pada pagi dan petang, bergantung pada saiz lembu.

“Antara kekangan menternak haiwan jenis ini ialah kos bekalan makanan yang tinggi, selain risiko dijangkiti penyakit kuku dan mulut. Bagi mengurangkan risiko jangkitan itu, saya akan memberi suntikan kepada lembu sekali setiap tiga atau empat bulan pada kos sekitar RM70,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg